EKONOMI

Cypark dan PCG bergabung bangunkan projek smart sisa kepada tenaga

10/10/2019 10:03 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Cypark Resources Bhd (Cypark) dan Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) akan bergabung dalam pembangunan projek Solid Waste Modular Advanced Recovery and Treatment (SMART) sisa kepada tenaga (WTE) di Malaysia.

Di bawah memorandum persefahaman (MoU), Cypark dan PCG akan menilai potensi kerjasama ke atas projek sisa kepada tenaga, termasuk pembinaan loji WTE, kata syarikat itu dalam kenyataan bersama di sini hari ini.

Kerjasama itu didorong oleh objektif kerajaan untuk memiliki sekurang-kurangnya satu kemudahan WTE di setiap negeri.

“MoU itu bertujuan untuk mewujudkan kerjasama kami dalam projek WTE, khususnya dalam membina loji di Malaysia bagi memproses sisa perbandaran untuk penjanaan elektrik,” kata Pengerusi Eksekutif Cypark Tan Sri Razali Ismail.

Beliau berkata kedua-dua syarikat akan dapat memanfaatkan pengetahuan, pengalaman dan keupayaan masing-masing, sambil mengenal pasti dan meneroka peluang komersil berkaitan dengan penyediaan pengurusan sisa pepejal.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG Datuk Sazali Hamzah berkata syarikat itu menaruh harapan tinggi terhadap kerjasama strategik itu kerana ia sejajar dengan inisiatifnya terhadap komitmen global Ekonomi Plastik Baharu bagi menyokong matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“MoU ini menandakan perkongsian kedua kami dalam merealisasikan aspirasi kami untuk menjadi rakan penyelesaian dalam menangani pencemaran plastik di Malaysia.

“Pada Jun, kami menjalin usaha sama untuk melakukan kajian kemungkinan untuk menubuhkan kemudahan bagi menukar sisa plastik kepada nafta mentah untuk menghasilkan plastik kitar semula yang berkualiti.

“Kami komited untuk menyokong negara dalam membangunkan Hala Tuju Ekonomi Kitaran menerusi Perjanjian Plastik Malaysia oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,” katanya.

Cypark ialah peneraju pasaran dalan kejuruteraan alam sekitar, tenaga boleh diperbaharui dan perniagaan teknologi hijau di Malaysia, manakala PCG adalah cabang petrokimia bagi Petronas, berminat untuk merealisasikan projek SMART WTE di Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk menyediakan penyelesaian kepada pengurusan sisa plastik yang berkesan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan