AM

Alami pengalaman tidak menyenangkan ketika kursus kahwin, lapor segera pada MAINJ

10/10/2019 06:57 PM

PONTIAN, 10 Okt -- Masyarakat Islam yang mengalami pengalaman tidak "menyenangkan" ketika menghadiri kursus perkahwinan di negeri ini diminta membuat laporan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri  Tosrin Jarvanthi berkata dalam masa yang sama, pihaknya sedang membuat proses “pemutihan” bagi penceramah yang terlibat bukan sahaja dalam kursus perkahwinan tetapi yang mempunyai kelayakan untuk memberi ceramah agama.

"Jika benar (terjadinya perkara sebegitu), minta dilaporkan kepada saya dan untuk makluman juga, kami sedang membuat apa yang dipanggil pemutihan, yang akan diselesaikan dalam masa tiga bulan,” kata beliau ketika ditemui di jeti nelayan Parit Penghulu, dekat sini, baru-baru ini.

Beliau berkata operasi “pemutihan” itu telahpun bermula bulan lepas, dan akan melihat penceramah yang mempunyai sijil mengajar kursus kahwin serta kelayakan memberi ceramah di masjid dan surau.

“Jadi pemutihan ini dibuat bagi mengenal pasti mereka-mereka yang tidak menepati ciri-ciri yang diputuskan dan yang dikehendaki oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor termasuklah mereka-mereka yang telah memberi kursus perkahwinan, yang lari daripada bidang sepatutnya,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Permai itu.

Jika mereka didapati melanggar peraturan, pihaknya akan membatalkan dan menarik balik sijil kelayakan mereka, kata Tosrin.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai aduan orang ramai yang menyertai kursus perkahwinan di Johor dan mengalami pengalaman yang tidak menyenangkan ketika menghadiri kursus berkenaan.

Ada antara mereka mendakwa ceramah yang disampaikan pada kursus perkahwinan lari daripada modul yang disediakan malah ada antara penceramah menyampaikan ceramah berbaur lucah, sehingga mendatangkan  keadaan kurang selesa antara peserta penceramah.

Baru-baru ini tular di media sosial, dakwaan segelintir peserta kursus kahwin terutama wanita yang mendakwa kursus perkahwinan tidak menepati apa yang dijanjikan malah ada penceramah menggunakan bahasa yang kurang sesuai dan berbaur lucah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan