AM

PDRM saran kerajaan beri elaun marin RM500 sebulan kepada pegawai, anggota PPM

10/10/2019 05:02 PM

GEORGE TOWN, 10 Okt  -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyarankan agar kerajaan menimbangkan pemberian insentif elaun RM500 sebulan kepada 2,270 orang pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) PDRM.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata PPM adalah satu-satunya unit di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) yang tidak diberi sebarang elaun insentif sejak penubuhannya.

"Saya rasa dengan kejayaan yang ditunjukkan oleh PPM ini mereka memang layak (diberi elaun). Saya tahu kehidupan dan tugasan mereka di laut macam mana berdasarkan kepada pengalaman saya sewaktu berkhidmat di Sabah selama empat tahun dulu. Pahit getir warga marin ini apabila mereka keluar untuk menjalankan tugas di lautan," katanya pada sidang media.

Terdahulu, beliau menghadiri sambutan Hari Peringatan Pasukan Polis Marin ke-72 di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Batu Uban dekat sini, hari ini.

Beliau berkata kertas cadangan berhubung pemberian elaun bulanan yang dijangka akan melibatkan jumlah implikasi kewangan RM13.6 juta setahun itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mendapat kelulusan.

Menurutnya, permohonan itu dibuat berdasarkan kepada faktor risiko kerja, kesusahan, peningkatan kos sara hidup, kepentingan perkhidmatan dan mengelakkan rasuah.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata pihaknya telah mendapat persetujuan daripada Ketua Setiausaha Negara untuk mengambil kembali dua buah bot kelas PZ daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang akan diletakkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

"Kegunaan bot ini adalah untuk memperkasakan kehadiran marin di kawasan ESSCom di pantai timur Sabah. Kedua-dua bot ini akan digunakan kalau mengikut perancangan awalnya ialah sebagai 'mothership' di mana ia akan diletakkan di situ secara tetap di perairan yang kerap berlakunya insiden rampasan, rompakan dan penculikan di pantai timur Sabah. 

"Dengan adanya bot berkelas PZ ini kami yakin kawalan keselamatan di pantai timur Sabah itu dapat diperkasakan," katanya.

Mengulas mengenai cadangan kerajaan negeri Sarawak untuk menubuhkan pasukan penguat kuasa maritim sendiri di negeri itu, beliau berkata PDRM mengalu-alukan cadangan itu, namun pihak kerajaan negeri perlu melihat perkara itu dari sudut perundangan terlebih dahulu.

Beliau berkata sekiranya cadangan itu tidak bercanggah dengan peruntukan undang-undang, pihaknya tidak mempunyai masalah malah mengalu-alukannya kerana ia akan melengkapi pasukan marin yang ada di negeri itu.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan berhubung perkara itu daripada kerajaan negeri Sarawak. 

Pada 1 Okt lepas, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata penubuhan unit baharu itu dirancang mengikut pindaan Ordinan Perikanan Negeri (2003) yang sedang dirangka ketika ini untuk mengurus industri perikanan pantai dan sungai dengan lebih baik di Sarawak.

Menurutnya, unit penguat kuasa itu akan mempunyai kuasa untuk mengawal kawasan pesisir termasuk menahan nelayan asing yang menceroboh perairan negeri berkenaan.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan