EKONOMI

Biodiesel B20 dilaksanakan secara berperingkat mulai awal 2020

10/10/2019 04:11 PM

BANGI, 10 Okt -- Penggunaan minyak biodiesel B20 di Malaysia akan dilaksanakan secara berperingkat dan dimulakan di Langkawi, Kedah pada awal tahun depan, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Sehubungan itu, beliau berkata usaha kini digerakkan untuk menyediakan fasiliti lengkap bagi tujuan tersebut termasuk depoh minyak biodiesel yang boleh menyimpan biodiesel B30 apabila dilaksanakan kelak.

"Walaupun pelaksanaan B20 dimulakan pada tahun depan tapi (pada masa sama) kita mahu menyediakan dan menaik taraf fasiliti yang sesuai untuk biodiesel B30 untuk penggunaan pada masa akan datang," katanya kepada media di sini, hari ini.

Terdahulu, Kok menghadiri majlis pelepasan peserta yang memandu kenderaan Euro 5 mengunakan biodiesel B20 dalam projek usaha sama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Persatuan Pengeluar Automotif Jepun (JAMA) di sini.

Mengulas selanjutnya, Kok berkata kerajaan masih dalam peringkat mengadakan kajian membabitkan jumlah peruntukan diperlukan untuk menaik taraf depoh bagi penggunaan biodiesel itu di seluruh negara. 

Malah, katanya, kerajaan juga telah memberi notis pemakluman kepada syarikat yang mengimport kereta dari luar negara berhubung persediaan pelaksanaan program B20 itu pada 2020.

"Notis ini bagi memastikan semua pihak terbabit bersedia. Kita tidak mahu kereta yang dipandu di jalan raya itu tidak dapat menggunakan B20," katanya.

Selain itu, Kok turut mengumumkan kerjasama MPOB dengan enam universiti tempatan bagi menjalankan kajian sistematik selama dua setengah tahun terhadap penggunaan biodiesel sehingga B30 bagi enjin berteknologi Euro IV/4 ke bawah yang melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM2.5 juta. 

Enam universiti terlibat adalah Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Nottingham cawangan Malaysia.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan