KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Power Ledger Pty Ltd dari Australia dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkaitan kerjasama dalam teknologi hijau.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin menyaksikan majlis pemeteraian itu selepas melancarkan projek rintis perdagangan tenaga rakan setara (PSP) pertama di Malaysia oleh Power Ledger, penyedia platform perdagangan tenaga.
“Kami amat gembira menyaksikan P2P akhirnya menjadi projek rintis untuk Malaysia. Malaysia menjadi negara ASEAN kedua selepas Thailand menjalankan projek rintis perdagangan tenaga P2P.
“P2P ini suatu yang inovatif, sejajar dengan pelan pembaharuan industri elektrik kita dan kami ingin melihat hasil daripada projek rintis itu dan kami akan melangkah lebih jauh,” katanya pada majlis pemeteraian yang diadakan pada Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia Ke-10 (iGEM) 2019 di sini hari ini.
Dalam projek rintis itu, sandbox pengawalseliaan diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) dengan platform P2P disediakan oleh Power Ledger.
Projek rintis itu yang dijangka berlangsung selama lapan bulan mendapat kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNBX Sdn Bhd dan Persatuan Industri Fotovoltaik Malaysia (MPIA) termasuk Pekat Solar Sdn Bhd dan Plus Solar Systems Sdn Bhd.
Sementara itu, MoU dengan UTM akan menyaksikan penambahbaikan kepada pengurusan tenaga berikutan universiti tempatan itu dikenali sebagai pakar dalam biogas, biojisim dan pengurusan tenaga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial