EKONOMI

Didian lancar platform B2B digital untuk pacu jualan hartanah

08/10/2019 06:05 PM

PETALING JAYA, 8 Okt  -- Firma teknologi hartanah, Didian Realtor Sdn Bhd telah melancarkan platform pasaran hartanah perniagaan ke perniagaan (B2B) yang pertama di negara ini yang mampu menghubungkan perunding, pemaju dengan ejen hartanah bagi memacu jualan.

Pengarahnya, Chow Nam Kit berkata platform itu sekarang ini mengandungi sembilan projek hartanah merangkumi 1,800 unit oleh lapan pemaju dengan nilai pembangunan kasar mencecah hampir RM1 bilion.

"Bermula daripada fasa ujian sehingga sekarang, sejumlah 300 ejen dan perunding telah berdaftar dengan platform tersebut, malahan ia mencatatkan kejayaan selepas lebih 80 jualan termeterai dan mengumpulkan kira-kira RM4.5 juta daripada segi komisen ekspres," katanya kepada pemberita semasa pelancaran platform itu di sini hari ini.

Platform itu yang tersedia dalam bentuk laman web serta versi mudah alih, mendigitalkan proses jualan dan menjadikannya lebih mudah termasuk menyediakan tempahan digital, akses digital masa nyata dan proses pentadbiran menyeluruh, membolehkan ejen dan perunding memberi tumpuan hanya kepada jualan mereka. 

"Didian juga menawarkan skim komisen ekspres tujuh hari, yang dibayar dari tarikh perjanjian jual beli dan perjanjian pinjaman ditandatangani berbanding tempoh biasa yang menelan masa antara tiga hingga enam bulan. 

"Selama bertahun-tahun, saya menyaksikan kelewatan dalam komisen yang memberi kesan kepada aliran tunai dan kehidupan mereka yang terbabit dan itulah sebabnya, isu ini harus ditangani," katanya.

Chow berkata platform tersebut juga akan membolehkan perunding untuk mengambil bahagian dalam penjualan projek oleh pemaju bereputasi tanpa mengira saiz dan kawasan geografi projek.

Buat masa ini, tumpuan jualan hanya ke atas hartanah utama, projek-projek perumahan mampu milik dalam harga lebih kurang RM500,000 atau lebih kurang RM1 juta sama ada di atas tanah atau bertingkat di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Semasa acara itu hari ini, syarikat juga telah menandatangani kerjasama strategik dengan StarProperty, sebahagian daripada Star Media Group Bhd, untuk bekerjasama dalam memasarkan platform itu kepada pemaju dan syarikat berkaitan hartanah.

Melalui kerjasama itu, Didian akan dapat menjangkau 20,000 ejen dalam StarProperty.

Beliau menambah kerjasama itu juga akan meningkatkan kesedaran tentang platform tersebut di kalangan peneraju dan pemaju hartanah.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan