KOTA BHARU, 6 Okt -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) memandang serius dan sedang memantau serangan ulat ratus ke atas tanaman jagung di Perlis, Perak, Kedah dan Johor sejak Januari lepas.
Ketua Setiausaha MoA Datuk Mohd Sallehuddin Hassan berkata ini berikutan kemungkinan ulat berkenaan akan menyerang tanaman padi pula, makanan ruji di negara ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Pertanian sedang menyediakan laporan lengkap berhubung perkara itu untuk tindakan lanjut.
"Ulat ini tahan terhadap racun serangga dan dipercayai pembiakannya terencat ketika jerebu yang melanda negara baru-baru ini. Selepas menjadi kumbang ia mampu terbang sehingga kira-kira 100 kilometer.
"Ia akan makan dan bertelur di pokok jagung. Pegawai Mardi telah dihantar ke kawasan terjejas untuk menjalankan kajian terhadap serangga ini," katanya.
"Tanaman padi masih selamat sebab ada jagung (yang menjadi makanan ulat ratus) tapi kebimbangan kita ia akan serang tanaman lain pula termasuk padi.
"Ini sebenarnya merupakan masalah antarabangsa dan kita sedang mendapatkan bantuan daripada China kerana negara ini masih belum diserang oleh ulat ratus ini," katanya.
Mohd Sallehuddin bercakap kepada pemberita selepas melancarkan varieti padi hibrid pertama negara yang dikenali sebagai MR 12H di Ladang Merdeka Mulong di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Datuk Mohamad Roff Mohd Noor, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Nik Roslan Idris dan Pengarah Mardi Kelantan Zainuddin Zakaria @ Hussin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial