AM

Bekas pemandu teksi terlepas daripada tali gantung kerana edar dadah

03/10/2019 05:47 PM

PUTRAJAYA, 3 Okt -- Seorang bekas pemandu teksi sambilan hari ini terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya untruk mengetepikan sabitan dan hukuman mati kerana mengedar 4.8 kilogram ganja.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel lima anggota memutuskan bahawa sabitan Y. Suppiah, 67 tahun, adalah tidak selamat kerana terdapat salaharahan serius oleh Hakim Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi tidak mempertimbangkan kenyataan hemat Suppiah sebagai pembelaan dan juga tidak ada bukti bahawa pihak pendakwaan telah menawarkan saksi-saksinya kepada pihak pembelaan pada akhir kes pendakwaan.

Hakim-hakim lain yang bersidang ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri David Wong Dak Wah dan hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat.

Suppiah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 April 2017 kerana mengedar ganja di tepi jalan Jalan Besar Klang, Banting, Kuala Langat, Selangor pada jam 3.30 petang pada 4 Mei 2015.

Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 30 Ogos, tahun lepas.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa Suppiah mengeluarkan satu bungkusan plastik dari but kereta dan menyerahkannya kepada seorang pegawai polis yang memeriksa kereta tersebut yang parkir di tepi jalan.

Tetapi peguam Afifuddin Ahmad Hafifi yang mewakili Suppiah berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi gagal mempertimbangkan kenyataan hemat anak guamnya yang memberitahu bahawa polis yang menemukan dadah tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Asmah Musa berhujah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf daripada segi fakta dan undang-undang apabila berkata dalam penghakimannya bahawa beliau telah mempertimbangkan "keseluruhan keterangan” walaupun secara jelas tidak menyebut mengenai kenyataan hemat itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan