SUKAN

E-sukan bakal diperkenal di sekolah menengah di Kuala Lumpur

29/09/2019 07:40 PM

PUTRAJAYA, 29 Sept -- Persatuan Sukan Elektronik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (ESKL) bersama Majlis Sukan Wilayah Persekutuan kini dalam perancangan memperkenalkan e-sukan sebagai kokurikulum di semua sekolah menengah di Kuala Lumpur.

Presiden ESKL, Hisham Darus berkata ia akan dilaksanakan menerusi penubuhan kelab-kelab e-sukan dengan tujuan memberi pendedahan serta pemahaman kepada ibu bapa dan pelajar mengenai potensi sukan berasaskan permainan video itu.

Beliau berkata pihaknya telah berhubung dengan beberapa agensi di bawah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam memastikan misi itu dapat dijayakan seawal bermula sesi persekolahan tahun depan.

“Sama seperti sukan lain, kita mahu atlet kita lebih berpengetahuan dan tahu batas apabila terlibat dengan e-sukan. Kita ingin lahirkan generasi yang bijak serta tahu ‘do’s and don’ts’ sebab kebanyakan daripada mereka (pelajar) bermain ikut suka hati sampaikan ibu bapa juga tak boleh nak kawal.

“Inilah pentingnya mereka diberi pendedahan, dan pentingnya wujud kelab e-sukan di setiap sekolah menengah,” katanya pada sidang media majlis pelancaran Kejohanan Kuala Lumpur Esports Masters 2020 di Putrajaya di sini, hari ini.

Majlis yang turut menyediakan pameran serta aktiviti menarik dihadiri hampir 5,000 penggiat e-sukan tempatan itu dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Kejohanan Kuala Lumpur Esports Master 2020 menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM1 juta dengan menampilkan lima kategori pertandingan - permainan video komputer, permainan video telefon pintar, permainan video konsol, perlumbaan-e dan permainan video realiti maya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan