GUA MUSANG, 29 Sept -- Seramai 200 penduduk membabitkan 52 keluarga Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, di sini, sudah memulakan aktiviti menanam 1,000 pokok terung untuk meningkatkan ekonomi mereka sejak dua minggu lalu.
Setiap keluarga kaum itu diberikan 20 pokok terung yang ditempatkan di satu kawasan berhampiran penempatan mereka bagi memudahkan pengawasan sebelum dapat mengeluarkan hasil sebulan lagi dan boleh memberi pendapatan jangka pendek.
Penghulu Orang Asli Kampung Kuala Koh, Mohamad Pokok, 40, berkata penduduk terbabit sudah diberi bimbingan bagi menjaga kebun terung itu yang dibekalkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk memberi punca pendapatan kepada mereka.
Katanya, projek tanaman kontan itu adalah janji jabatan itu bagi menyelesaikan masalah pendapatan kaum itu selepas kejadian tragedi kematian 15 penduduk kerana jangkitan kuman dan demam campak sejak awal Mei lalu.
Beliau berkata usaha itu juga bagi mengelakkan penduduk Orang Asli di kampung berkenaan sukar berpindah ke kawasan hutan untuk mencari rezeki.
Mohamad berkata penduduk yang terpilih bagi mengusahakan kebun terung itu begitu teruja untuk menjadi pekebun sayur walaupun ia sebagai permulaan untuk mempelajari sebelum memperoleh hasil.
"Kami selalu memantau kerja-kerja mereka membersih kebun terung itu kerana apa yang diharapkan ia berjaya sebelum tanaman lain selepas ini," katanya.
Seorang belia Orang Asli, Riang Salleh, 18, berkata, beliau mengganti ibu bapanya mengusahakan kebun terung itu waktu pagi dan petang kerana ingin membuktikan kejayaan projek itu.
"Saya bersama rakan lain kerap membersih kawasan kebun itu supaya pokok terung lebih subur,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial