KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia melancarkan beberapa aplikasi perkhidmatan dalam talian baharu yang dinamakan Visual Interaktif Daftar Perniagaan Perangkaan Malaysia (i-MSBR) untuk memperkukuh sistem penyampaian dan perkhidmatan perangkaan negara.
Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata aplikasi tersebut merupakan perkhidmatan dalam talian visual interaktif yang dibangunkan berdasarkan kepada senarai pertubuhan atau perusahaan dalam Daftar Perniagaan Perangkaan Malaysia (MSBR).
Menurut Jabatan Perangkaan, i-MSBR adalah perangkaan pertubuhan atau perusahaan yang beroperasi di Malaysia merangkumi daftar syarikat (ROC), daftar perniagaan (ROB) dan Perkongsian Liabliti Terhad (LLP) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), serta syarikat yang berdaftar dengan badan profesional.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata i-MSBR menyediakan perangkaan pelbagai pertubuhan mengikut sektor atau subsektor, negeri dan saiz.
Sektor itu meliputi semua industri yang dikelaskan di bawah Klasifikasi Perindustrian Piawaian Malaysia (MSIC) 2008 versi 1.0, katanya.
Mohd Uzir berkata ketika ini bilangan syarikat aktif yang direkodkan dalam MSBR ialah 1.18 juta, dengan sektor perkhidmatan merupakan yang terbesar, membentuk 86.1 peratus diikuti sektor pembinaan (6.9 peratus), pembuatan (5.1 peratus), pertanian (1.6 peratus) dan perlombongan serta kuari (0.3 peratus).
“Bilangan syarikat itu adalah data langsung dan dikemas kini secara berkala menerusi kaji selidik/banci yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan, serta maklumat daripada sumber pentadbiran,” katanya.
Menurutnya, setakat ini Jabatan Perangkaan telah membangunkan sembilan aplikasi perkhidmatan dalam talian seperti i-MSBR, STATS Geoportal, Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia Dalam Talian (METS Online) versi 1, 2 dan 3, MyLocal Stats, Philips Curve, Interaktif Banci Ekonomi 2016, International Merchandise Trade Malaysia & ASEAN, Interaktif Perdagangan Edaran (i-DT), dan Population Quick Info.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial