SUKAN

Geran tahunan pasukan Liga-M mungkin dikurangkan musim depan

25/09/2019 09:39 PM

PETALING JAYA, 25 Sept -- Tugas berat menanti persatuan bola sepak negeri dalam mempersiapkan pasukan dalam persaingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan apabila jumlah geran tahunan berkemungkinan besar akan berkurangan.

Kantung 12 pasukan Liga Super dan 11 pasukan Liga Premier itu yang sebelum ini menerima geran masing-masing RM3 juta dan RM1.5 juta, terpaksa dikurangkan berikutan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menghadapi kesukaran mendapatkan penajaan, menyaksikan badan pentadbir Liga-M itu berhadapan kekangan kewangan.

Terkini, MFL berdepan kesukaran melunaskan baki geran tahunan musim ini yang masing-masing berjumlah RM1.5 juta dan RM500,000 kepada pasukan Liga Super dan Liga Premier yang sepatutnya dilangsaikan pada Ogos lalu, selepas membayar separuh daripadanya pada pertengahan Julai lepas.

Ahli Lembaga Pengarah MFL yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi tidak menolak kemungkinan pengurangan jumlah geran pada tahun hadapan, namun ia bergantung kepada nilai tajaan yang akan diterima bagi saingan musim 2020.

“Mungkin tahun depan tak dapat lagi RM3 juta dan RM1.5 juta. Kita akan memberi mengikut nilai (tajaan) berapa yang kita dapat dan nilai yang dijanjikan tahun ini itu, kita buat berdasarkan kepada nilai sepatutnya kita terima daripada penaja lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Bola Sepak Merah Kuning di Shah Alam, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL Kevin Ramalingam yang ditemui pada Majlis Undian E-Sukan Piala Malaysia 2019 hari ini, enggan mengulas mengenai kelewatan, mahupun pengurangan jumlah geran tahunan bagi saingan Liga-M musim hadapan.

“Anggota kanan (lembaga) telahpun memberikan komen (berkaitan perkara ini) … Ini bermakna saya tidak lagi perlu membuat sebarang komen.. Kita lakukan semua yang kita boleh dan akan membuat pengumuman rasmi mengenainya,” katanya.

Sementara itu dalam acara hari ini MFL dan rakan kongsinya bersama Gamesbond sedang mengumpulkan peminat bola sepak secara dalam talian, dengan buat kali pertamanya melancarkan ePiala Malaysia 2019 bagi menarik lebih ramai peminat terhadap bola sepak.

Sebagai pelancaran ePiala Malaysia 2019, lapan pemain terpilih - yang merupakan pemain e-sukan terbaik dalam carta Dunia FIFA, telah diundi bagi mewakili lapan pasukan suku akhir Piala Malaysia 2019, iaitu Johor Datul Ta’zim (JDT),  Kedah, Melaka, Pahang, Perak, PKNP FC, Selangor dan Terengganu FC.

Juara sulung ePiala Malaysia 2019 akan pulang dengan hadiah wang tunai RM5,000 dan piala selain berpeluang menjulang Piala ePiala Malaysia pada final Piala Malaysia 2019.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan