AM

Warga Myanmar 'monopoli' motosikal roda tiga jual barang lusuh ditahan

24/09/2019 11:55 PM

KUALA LUMPUR,  24 Sept (Bernama) -- Warga Myanmar yang menjadikan motosikal roda tiga sebagai pengangkutan untuk menjual barang lusuh adalah antara 181 rakyat asing yang ditahan dalam operasi bersepadu Pemandu Warga Asing (Pewa) sejak 12 Sept sehingga hari ini. 

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor Nazli Md Taib berkata daripada jumlah itu, 96 warga Myanmar ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk menunggang motosikal tanpa lesen dan mengubah suai kenderaan. 

Beliau berkata pemeriksaan mendapati kebanyakan mereka mendapatkan motosikal jenis roda tiga daripada warga tempatan dengan harga RM5,000 hingga RM6,000 dan mengubah suai kenderaan mengikut kegunaan mereka. 

"Mungkin mudah bagi mereka untuk mendapatkan barang lusuh (besi buruk) dengan menggunakan motosikal roda tiga ini dan akan keluar mencari barang-barang pada waktu tengah hari. 

"Kami akan memanggil pemilik asal motosikal ini dan mereka akan dikenakan saman dan tindakan mengikut Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada pemberita selepas menjalankan Ops Pewa di Puchong dekat sini,  hari ini. 

Nazli berkata turut ditahan 25 rakyat India, Pakistan (20), Indonesia (17), Bangladesh (15), Kemboja dan Nepal masing-masing tiga orang serta dua warga Arab Saudi. 

Beliau berkata  sebanyak 290 kenderaan dikenakan tindakan sita terdiri daripada motosikal 92 buah, motosikal roda tiga (79), kereta (16), lori sampah (44), teksi  (29), bas kilang (24) dan lori bersaiz di bawah lima tan (enam).

Nazli berkata kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen kenderaan motor, cukai jalan tamat tempoh, membawa muatan lebih dan berbahaya serta kesalahan teknikal iaitu mengubah suai kenderaan. 

Katanya,  sebanyak 775 notis dikeluarkan pihaknya dalam lima siri Ops Pewa yang dijalankan dengan kerjasama polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak majlis perbandaran. 

"Operasi ini fokus kepada kenderaan yang sering digunakan warga asing terutama kenderaan perdagangan. Mereka ini dikesan memandu tanpa lesen dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain, " katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan