AM

Produk mengkuang Felda gah di rak Starbucks

23/09/2019 04:17 PM

Oleh Siti Salwa Saari

PEKAN, 23 Sept -- Jika berkunjung ke rangkaian kedai Starbucks, sudah pasti mata tidak akan lari daripada meneliti deretan pelbagai produk kraftangan daripada mengkuang yang dipamerkan di situ. 

Siapa sangka kraftangan daripada yang bersaiz kecil seperti penanda buku dan rantai kunci sehingga ke tikar yang bersaiz besar itu adalah 'kerja tangan' 10 wanita di Felda Chini Timur 1 di Pekan, di sini.

Bagaimanapun bukan mudah bagi produk buatan orang kampung dapat diterima dan dipamerkan dipremis sebuah syarikat bertaraf antarabangsa seperti Starbucks.

Hanya setelah 17 tahun berusaha barulah produk mengkuang itu menambat hati pihak pengurusan dan mula dipamerkan rangkaian premis jenama kopi terkenal itu pada 2014.

Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Chini Timur 1, Ali Yusof Ab Rahman, 59, mengakui mereka hanya berpegang keberanian dan semangat untuk mencuba semasa mula melibatkan diri dalam industri kraftangan sekitar September 1997. 

"Kami mahu menyambut cabaran pengurusan Felda semasa itu yang memperkenalkan konsep satu wilayah, satu industri. Jika diingatkan semula, ia agak gila kerana semua kami tiada pengalaman atau kemahiran dalam bidang ini. 

"Perkara pertama kami lakukan ialah mengrungkai sebuah kotak kraftangan dari Indonesia satu-per-satu untuk melihat bagaimana ia dilipat. Berhari-hari kami mengkaji sehingga berjaya menghasilkan kotak yang agak sempurna. 

"Itu masa yang seronok untuk dikenang kerana kami tiada guru... hanya sekumpulan penduduk yang berkumpul hingga larut malam berbincang tentang kerja seni. Maklumkan kami ini tidak semuanya berseni," katanya kepada Bernama semasa ditemui, baru-baru ini. 

Ali Yusof menambah keyakinan terhadap kebolehan anak tempatan Felda itu menyebabkan beliau bersama tiga lagi penduduk mengambil 'percaturan berani' membuat pinjaman RM20,000 seorang di bawah Skim Insentif Usahawan Felda untuk memulakan industri itu. 

Katanya, selepas yakin dengan produk yang dihasilkan, baharulah mereka berani mengambil tempahan, sebelum kembali ke peringkat asas apabila mencuba penghasilkan produk mengkuang. 

Kali itu, bagi memastikan produk berkualiti dapat dihasilkan dengan lebih pantas, mereka menuntut ilmu dengan seorang pensyarah sebuah institusi pendidikan dari Johor dengan produk sulung yang dihasilkan ialah sebuah beg. 

Mengulas mengenai pembabitan mereka dengan Starbucks, Ali Yusof menyifatkannya sebagai 'rezeki terpijak' apabila rakan kongsinya Nor Mariani Haron mendengar pengurusan kedai terkemuka itu mencari produk tempatan untuk diketengahkan dalam projek komuniti mereka. 

Mengimbas perkara itu, Nor Mariani, 55, ketawa kecil semasa mengakui beliau banyak kali bertanya kepada Ali Yusof jika mereka mahu mengambil risiko menerima tempahan Starbucks ekoran bimbang jika gagal menepati standard dan jumlah yang diperlukan. 

"Saya tahu jenama itu gah di pasaran. Saya biarkan diri dikuasai perasaan takut sehingga Tok Ampat (gelaran Ali Yusof) mengingatkan saya bahawa peluang tidak datang dua kali dan kami mula berbincang kraftangan yang sesuai. 

"Ada antara idea kami ditolak pengurusan atasan Starbuck kerana piawaian mereka cukup tinggi namun kami anggap itu sebagai cabaran. Sekarang saya yang seronok melihat deretan hasil kerja kami sebagai sumbangan kecil warga Felda mempromosikan produk tempatan," katanya. 

Nor Mariani berkata mereka mendapatkan tikar mengkuang 'mentah' daripada penduduk di sekitar Terengganu setiap dua ke tiga bulan sekali, selain dari Melaka dan Perak apabila bekalan tidak mencukupi. 

Tikar mengkuang, akui Nor Mariani merupakan cabaran utama dihadapi kerana bekalan yang agak terhad memandangkan mereka memerlukan corak anyaman tertentu selain sukar diperoleh pada musim hujan ekoran daun mengkuang tidak boleh dijemur untuk dikeringkan. 

"Tikar ini akan dipotong mengikut kraftangan yang hendak dihasilkan sebelum dijahit. Kerja-kerja ini rumit apabila produk yang dihasilkan adalah bersaiz kecil. Setiap produk kami juga melalui kawalan kualiti yang ketat.

"Untuk menjaga nilai eksklusif produk di situ, kami tidak menghasilkan produk yang sama untuk tempahan lain atau menjual produk sama di sini. Jika ada yang bertanya, saya minta mereka beli di outlet Starbucks sahaja," katanya. 

Menariknya, kraftangan itu juga dihasilkan oleh Orang Kelainan Upaya (OKU), Rosuhaida Abdul Rahman, 37, yang sudah tujuh tahun bertanggungjawab di 'barisan pertama' iaitu menanda dan memotong tikar mengkuang menjadi bentuk yang dikehendaki. 

Anak kelima daripada tujuh beradik yang menetap di Felda Chini 2 mengakui seronok kerana peluang itu membolehkan dirinya memperoleh pendapatan sendiri dan merasai peluang bekerja seperti insan biasa kerana perlu berada di 'bengkel' bermula 9 pagi hingga 5 petang. 

"Saya juga sudah dibenarkan melakukan kemasan akhir seperti menggunting lebihan benang. Harap selepas ini saya boleh belajar buat perkara lain yang lebih rumit," tulis beliau yang merupakan OKU pekak dan bisu. 

Sementara itu, Pengurus Felda Chini Timur 1 Mohd Shahrun Ismail berkata permuafakatan penduduk dalam menghasilkan kraftangan itu membolehkan mereka dinobatkan sebagai johan Anugerah Inovasi Felda pada 2016 dan Usahawan Terbaik Pusat Internet 1Malaysia pada 2017. 

Selain itu, mereka juga menerima manfaat apabila felda itu dijadikan kampung angkat jenama kopi itu membolehkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) diadakan seperti sumbangan bahan bacaan kepada perpustakaan mini di situ. 

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan