AM

Minuman keras pelbagai jenama dirampas di Selangor

22/09/2019 01:20 PM

SHAH ALAM, 22 Sept -- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor merampas sebanyak 831 minuman keras pelbagai jenama bernilai RM11,695 dalam ‘Op Minuman Beralkohol’ di seluruh negeri ini, Khamis lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, minuman keras itu dirampas hasil pemeriksaan ke atas 92 premis kerana gagal mematuhi keperluan pelabelan produk minuman beralkohol yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985.

“Di samping itu juga, sebanyak 15 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 bagi pelbagai kesalahan yang boleh dikompaun telah dikeluarkan dengan nilai kompaun berjumlah RM52,500.

"Kesalahan boleh dikompaun yang banyak ditemui adalah kegagalan penjual untuk mempamerkan notis 'meminum arak boleh membahayakan kesihatan' di hadapan lokasi di mana minuman beralkohol dijual," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kesalahan lain yang dikesan ialah kegagalan mempamerkan tanda larangan jualan minuman keras kepada mereka yang berumur kurang daripada 21 tahun di kaunter jualan.

Dr Khalid berkata ada juga premis yang menjual minuman keras tidak menyediakan rak berasingan daripada  minuman dan makanan lain.

"JKN Selangor sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh menyebabkan kekeliruan dan penipuan dalam pengilangan dan penjualan produk makanan kepada pengguna.

"Tindakan penguatkuasaan yang berterusan akan dilakukan bagi memastikan  tahap keselamatan dan kualiti makanan di negara ini terkawal," katanya.

Beliau berkata pengguna boleh menghubungi terus JKN Selangor atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/JKN Selangor jika terdapat sebarang aduan mengenai produk makanan atau minuman.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan