AM

JAS Melaka terima 226 aduan pembakaran terbuka sejak Januari

21/09/2019 03:35 PM

ALOR GAJAH, 21 Sept -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka menerima 226 aduan berkaitan pembakaran terbuka sepanjang tempoh Januari hingga 16 Sept lepas termasuk 11 aduan pada bulan ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew berkata, aduan dua lokasi hotspot diterima pada 12 dan 13 Sept lepas di kawasan sawah di Bukit Rambai namun setibanya unit aduan ke lokasi mendapati pembakaran terbuka telah dipadam sepenuhnya.

Beliau berkata berikutan keadaan jerebu semasa, pihaknya memberi amaran agar mana-mana pihak tidak melakukan pembakaran terbuka dan JAS tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas.

"Dengan keadaan jerebu yang dilihat semakin baik dengan Indeks Pencemaran udara (IPU) di Bandaraya Melaka, Bukit Rambai serta Alor Gajah mencatatkan bacaan bawah 100 setakat pukul 12 tengah hari.

"Namun ia bergantung kepada arah angin, kita jangka pada pertengahan bulan ini pertukaran angin monsun akan memulihkan keadaan ini, namun kita mahu mengingatkan penduduk di negeri ini supaya tidak membuat pembakaran terbuka," katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri Program Pembersihan Pantai (Sinergi Untuk Ekologi Bersama) sempena 'World Clean Up Day 2019' di Pantai Tanjung Bidara di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah SWCorp negeri, Khairuladha Ab Mutalib dan Pengurus Operasi Wilayah Melaka, SWM Enviroment Sdn Bhd, Hisham Hussin.

Mengulas lanjut, Tey berkata dari segi tindakan penguatkuasaan, 94 tindakan telah dilaksanakan termasuk surat amaran, notis arahan, kompaun, kertas siasatan dan lain-lain tindakan telah dibuat oleh pihak jabatan itu sepanjang tempoh Januari sehingga 16 Sept. 

Sebanyak 19 kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 29A dengan kadar denda berbeza mengikut jenis aktiviti antaranya ladang atau kebun, industri dan orang persendirian.

"Jumlah kompaun pembakaran terbuka 21 Kompaun melibatkan denda RM17,400 dan jumlah denda itu adalah selepas rayuan kompaun dipertimbangkan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan