EKONOMI

Pulau Pinang sasar tarik lebih banyak acara perniagaan daripada UK

19/09/2019 05:55 PM

GEORGE TOWN, Sept 19 -- Kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan bagi penganjur daripada United Kingdom (UK) mengadakan acara perniagaan dalam jangka masa panjang, kata Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin hari ini.

Beliau berkata acara perniagaan adalah antara bidang yang menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk dipromosikan sebagai alasan bagi orang ramai datang ke negeri pulau itu, di samping menjadikan ia dikenali sebagai pusat pelayaran, rawatan perubatan, percutian atau lawatan berkumpulan.

“Bagi Pulau Pinang, sektor pelancongan kini adalah perkara yang lebih utama daripada sebelumnya. Saya percaya Pulau Pinang juga sedang berkembang pada kadar yang tidak boleh dihalang untuk meningkatkan pasaran dan mempromosikan dirinya sebagai destinasi yang tidak boleh ditinggalkan,” tambah beliau.

Yeoh membuat kenyataan itu pada sidang media di sini hari ini sebelum majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) dan The Meeting Show London (TMS London) bagi kerjasama untuk BE@ Penang 2019.

BE@ Penang 2019 adalah persidangan perniagaan terbesar Malaysia dari 5 hingga 6 Dis ini dan akan berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak Persatuan Konvensyen dan Kongress Antarabangsa Asia Pasifik di Pusat Konvensyen Setia SPICE, di sini.  

MoU itu ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif PCEB G Ashwin dan Pengarah Komersial TMS London Ross Barker.

PCEB adalah biro kerajaan negeri yang ditubuhkan untuk membangunkan acara perniagaan dan Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) di Pulau Pinang, manakala TMS London adalah penganjur mesyuarat korporat dan insentif pameran perdagangan terbesar di UK. 

Yeoh berkata UK mempunyai pasaran yang penting bagi acara perniagaan Pulau Pinang dan TMS London adalah satu daripada platform bagi mempromosikan negeri ini kepada rakyat negara itu.

“Menerusi peristiwa penting ini, Pulau Pinang akan dapat meningkatkan usaha untuk memasarkan Pulau Pinang di masa depan sebagai destinasi acara perniagaan dan industri pelancongan UK,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan