EKONOMI

Projek ladang durian Musang King Koperasi Sindiyan mampu jana hasil RM3 billion

17/09/2019 10:18 AM

KOTA BHARU, 17 Sept -- Projek ladang durian Musang King Koperasi Sindiyan Berhad  di Lojing Gua Musang dijangka mampu menjana hasil mencecah RM3 bilion apabila ladang seluas 4,000 hekter  (10,000 ekar) itu mengeluarkan hasil menjelang Oktober tahu depan.

Pengerusi Koperasi Sindiyan, Datuk Adnan Hussin berkata jangkaan itu berdasarkan harga semasa durian jenis tersebut yang agak lumayan dan  ladang itu pula boleh  mengeluarkan hasil sehingga  mencecah 100,000 tan setahun.

“Buat permulaan sebanyak  60,000 pokok durian Musang King yang ditanam akan mengeluarkan hasil manakala jumlah itu akan ditambah menjadi 300,000 pokok secara berperingkat  dalam tempoh tiga tahun,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Mesyuarat Agung Permulaan (Dalaman) Koperasi Sindiyan Berhad di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Urusan Syarikat Sindiyan Berhad Che Chong Ha. 

“Pada peringkat awal ini, kita akan mengeksport hasil durian Musang King ke negara China kerana ia menawarkan pasaran luas dan sentiasa mendapat permintaan tinggi terhadap ‘raja buah’ itu. 

“Tanaman ini juga menggunakan teknologi dan baja yang mesra alam yang bebas daripada penggunaan baja kimia bukan sahaja selamat untuk para penggemar raja buah tetapi juga baik untuk alam sekitar untuk jangka masa panjang,” katanya. 

Adnan  selain pertanian pihaknya juga dalam perancangan untuk mendirikan tempat penginapan di ladang itu sebagai salah satu tarikan pelancongan. 

“Sebagai permulaan, kita akan mengfokuskan terhadap tanaman Musang King dan kemudian akan wujudkan tempat penginapan bagi memberi pengalaman baharu kepada penggemar ‘raja buah’ ini,” katanya.

Untuk rekod Koperasi Sindiyan merupakan agensi pemasaran kepada Syarikat Sindiyan Berhad. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan