AM

4,000 sertai keretapi sarong 2019 sambut Hari Malaysia

16/09/2019 08:50 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept -- Kira-kira 4,000 rakyat Malaysia berkain sarung dan memakai pakaian tradisional menyertai program 'Keretapi Sarong 2019' di lima stesen MRT di sini hari ini.

Para peserta mengenakan kain sarung pelbagai warna dengan pelbagai gaya,   melangkah dengan bangga, berarak melalui jalan-jalan yang sibuk di ibu negara dan berkumpul di stesen Masjid Jamek sebelum beralih ke Dataran Merdeka, sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik di sepanjang jalan.

Kehadiran mereka menarik perhatian orang ramai serta pelancong di sepanjang jalan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai, kementerian mungkin akan memperluaskan program 'Keretapi Sarong' ini di luar Kuala Lumpur pada tahun hadapan.

"Program seperti ini menunjukkan kepelbagaian budaya dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dalam meraikan Hari Malaysia.

"Melalui program seperti ini, MOTAC bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti LOCCO sejak tiga tahun lepas membantu mengembalikan tradisi memakai kain sarung,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucapannya di Dataran Merdeka, hari ini.

Inisiatif Keretapi Sarong dianjurkan oleh kumpulan komuniti tempatan Local Companion (LOCCO) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan