AM

Kerajaan N. Sembilan bekal air ke Melaka

16/09/2019 06:21 PM

SEREMBAN, 16 Sept -- Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) telah membekalkan air bersih ke Melaka bagi membantu negeri itu yang ketika ini sedang berhadapan dengan krisis bekalan air.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata setakat ini paras empangan di negeri ini berada pada tahap baik selain mencukupi untuk dikongsikan ke beberapa kawasan yang terjejas di Melaka.

"Kita tahu masalah air di negeri Melaka pada masa ini agak meruncing dan ketika saya pergi ke Melaka dua hari lepas, saya dimaklumkan mereka memerlukan bekalan air. Kita memang sedia ada mempunyai perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan Melaka bagi membekalkan air bersih.   

“Empangan kita pun setakat ini tidak ada satu pun yang berada pada paras kritikal dan masih berada pada tahap yang baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Hari Malaysia 2019 DUN Sikamat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata bantuan bekalan air bersih itu berdasarkan MoU antara Sains dengan kerajaan negeri Melaka menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) pada 19 Jun lepas.

Menerusi perjanjian itu, Sains akan membekalkan sejumlah 12 juta liter air bersih tambahan sehari pada kadar RM1.40 untuk setiap meter padu berkuatkuasa 19 Jun lepas sehingga sehingga 31 Disember tahun depan.

Sabtu lepas, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari dalam satu kenyataan berkata purata hujan yang rendah menyebabkan paras air di empangan negeri, takungan dan Sungai Melaka merosot dan menyebabkan beberapa kawasan di negeri itu mengalami gangguan bekalan air.

Terdahulu, Aminuddin dalam ucapannya menyeru masyarakat agar sentiasa mengekalkan perpaduan   kerana keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini akan menyumbang kepada kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kemakmuran sosial seperti yang dikecapi sekarang.

"Hasrat saya ingin melihat semua golongan mementingkan keamanan dan perpaduan di samping memupuk gaya hidup sihat.

"Diharapkan penyertaan masyarakat pada karnival ini memberi galakan kepada mereka untuk bergaul merentasi perbezaan bangsa dan agama selain memberikan kesan positif kepada kesihatan dan kecerdasan tubuh badan kita," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan