KUALA LUMPUR, 12 Sept -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berharap dapat meyakinkan kerajaan untuk menyediakan insentif sebagai langkah menyokong penggunaan bahan api lebih bersih dalam industri maritim, kata Naib Presiden Pemasaran dan Dagangan Gas Asli Cecair (LNG) Petronas, Ahmad Adly Alias.
"Singapura telahpun mengambil langkah proaktif dengan menyediakan insentif dan bantuan kewangan seumpama itu," katanya kepada pemberita pada Persidangan Perkapalan Mesra Alam dianjurkan bersempena dengan Minggu Maritim Sedunia Malaysia 2019, di sini, hari ini.
Singapura memberikan insentif berjumlah sehingga S$2 juta (S$1 = RM3.03) kepada pemain industri untuk bertukar kepada bahan api yang lebih mesra alam.
Ahmad Adly juga menggesa pihak berkuasa pelabuhan dan pengendali untuk bekerjasama memudahkan penggunaan bahan api lebih bersih dengan menawarkan tarif khas dan penggunaan kapal serta kenderaan menggunakan LNG mengikut Agenda Dasar Pelabuhan Hijau.
Di bawah dasar ini, Malaysia komited untuk mengurangkan tahap pelepasan karbonnya sebanyak 40 peratus menjelang 2020.
"Kami berusaha untuk menyediakan bahan api yang mematuhi industri melalui projek khas bertujuan menyediakan bahan api seperti minyak bahan api ultra rendah sulfur, minyak bahan api sangat rendah sulfur dan minyak gas marin rendah sulphur.
"Ini dapat dilakukan dengan penambahbaikan infrastruktur simpanan sedia ada kami di Tanjung Bin Johor, dan di Pelabuhan Klang," katanya.
Sementara itu, Petronas menyatakan bahawa ia bersedia untuk menyediakan perkhidmatan pengisian LNG komersial menjelang 1 Januari, 2020, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab pengisian.
Ia mencapai kejayaan pertamanya dalam menjalankan operasi pengisian semula LNG ke kapal bunker LNG (LBV) terbesar dunia, Kairos, pada 27 Oktober, 2018, menunjukkan kesediaannya untuk menyokong pengisian semula LNG bagi aktiviti pengisian.
Perkhidmatan pengisian merujuk kepada pembekalan bahan api bagi kegunaan kapal dan termasuk logistik pengisian bahan api atas kapal dan mengagihkannya dalam kalangan kapal tangki bunker yang ada.
"Kami telah menandatangani perjanjian dengan beberapa pelanggan, tetapi saya tidak dapat mendedahkan nama mereka, dan kami sedang berusaha untuk meningkatkan kuantitinya.
"Ia sepatutnya dapat menyumbang kepada keputusan Petronas pada tahun depan. Saya akan menyerahkan kepada Petronas Dagangan untuk membuat pengumuman itu kerana kami telah melantik mereka untuk memasarkan produk tersebut,” katanya.
Dengan kerjasama antara anak-anak syarikat Petronas dan melalui cabang perkapalannya, MISC Bhd dan Avenir LNG Ltd, Petronas kini menyewakan kapal pengisian LNG berkapasiti 7,500 juta meter padu (cbm).
Ia akan menjadi yang pertama beroperasi di rantau ini, yang akan mempercepatkan lagi usaha syarikat minyak nasional itu untuk merealisasikan aspirasi pengisian LNG.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial