Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Platform e-ilmu perniagaan berbahasa Melayu, Ruang Cikgu (RC) menyasar untuk melahirkan 500 usahawan melalui program pementoran dalam tempoh enam bulan mulai hari ini.
Pengasasnya Datin Norzihan Ahmad berkata melalui program pementoran itu, peserta yang layak berpeluang mendapat modal niaga sehingga RM50,000 di bawah Tabung Seri Maznah Hamid bergantung kepada perniagaan yang dijalankan.
"Menerusi platform RC ini, kita menawarkan pelbagai ilmu perniagaan dan kemahiran kepada individu yang ingin mempelajarinya secara sistematik seperti panduan langkah demi langkah untuk pemula ke arah mewujudkan perniagaan sendiri dan mudah untuk difahami.
"Untuk menyertai program pementoran pula, mereka yang berminat perlu mendaftar sebagai pelajar di www.ruangcikgu.com secara percuma, melayari kelas dan menonton video pengenalan tentang kelas itu (percuma) dan melanggan sesuatu kelas dengan harga RM30," katanya kepada Bernama pada Forum Perniagaan RC: Wacana Pendidikan Online Untuk Usahawan, di sini hari ini.
Bertemakan 'Satu Perkongsian Cerita Satu Pengisian Ilmu', forum sehari itu menampilkan beberapa ahli perniagaan tempatan dan antarabangsa yang berkongsi rahsia kejayaan mereka.
Sementara itu, Norzihan berkata forum itu turut menyaksikan komitmen RC dalam melahirkan 1,000 usahawan berdaya saing pada setiap tahun, sekali gus menyokong matlamat kerajaan menjayakan dasar Keusahawanan Nasional 2030.
RC yang dilancarkan pada 31 April 2019 ketika ini memiliki 25 tenaga pengajar dari Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.
"Kita mempunyai tenaga pengajar dari luar kerana mahu peserta belajar daripada mereka yang arif dari serata nusantara dan kesemua maklumat untuk menjadi cikgu juga ada di laman web ini.
"Sebenarnya di RC, sesiapa pun boleh mengajar kerana kami mahu menggalakkan mereka yang boleh mengajar untuk menjana pendapatan pasif," katanya sambil memaklumkan tiga kategori tenaga pengajar iaitu Ruang Bisnes, Ruang Skil dan Ruang Akademik.
Bagaimanapun katanya hanya tenaga pengajar untuk Ruang Bisnes memerlukan kriteria lebih ketat antaranya terlibat dalam dunia perniagaan selama lebih dua tahun atau pelatih bidang berkaitan yang diiktiraf.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial