AM

PPM selamat tiga lelaki Indonesia, kapal rosak, hanyut ke Pulau Sipadan

12/09/2019 12:36 AM

SEMPORNA, 11 Sept  -- Sebuah kapal penarik udang dari Indonesia bersama tiga anak kapal  dihanyutkan dari Muara Nunukan, Indonesia ke perairan Pulau Sipadan dekat sini, semalam selepas kapal berkenaan mengalami kerosakan.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata kesemua mangsa yang berasal dari Tarakan, Indonesia itu diselamatkan polis marin yang menerima maklumat kejadian pada 7.30 pagi hari yang sama, daripada Taman Taman Sabah serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengesan kapal itu dalam keadaan mencurigakan.

"Siasatan awal mendapati kapal bersama tiga kru kapal daripada Indonesia hanyut ke perairan Malaysia selepas kapal mereka jenis pukat tunda iaitu kapal menarik udang, rosak di bahagian enjin sewaktu di kawasan Muara Nunukan.

Semasa kesemua mangsa membaiki enjin berkenaan, berlaku ombak besar menyebabkan kapal mereka dihanyutkan sehingga ke Pulau Sipadan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini

Menurut Mohamad Pajeri, kapal dinaiki kesemua mangsa dalam perjalanan ke Sungai Nyamuk, Indonesia ketika kejadian berlaku.

Dalam pada itu, beliau berkata pemeriksaan kapal oleh anggotanya tidak menemukan barang yang menyalahi undang-undang.

"Namun kesemua suspek ditahan bersama kapal di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk siasatan lanjut," katanya lagi.

Menurut Mohamad Pajeri, ekoran kejadian itu perkara itu turut dilaporkan  kepada Pejabat Konsulat Republik Indonesia di Tawau

--BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan