AM

Peruntukan RM6 juta senggara rumah tentera Desa Tun Hussein Onn

10/09/2019 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept  – Kira-kira RM6 juta daripada RM50 juta jumlah keseluruhan Peruntukan Khas 2019 digunakan bagi kerja-kerja penyenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Desa Tun Hussein Onn (DTHO) di sini.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini berkata projek penyelenggaraan itu melibatkan sebanyak 134 unit RKAT kelas E, F dan G yang bermula Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya Disember tahun ini.

“Seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 terdapat  9,744 unit RKAT Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seluruh negara telah mengalami kerosakan.

“Kementerian bersama ATM mengenal pasti unit-unit RKAT berkenaan dan dalam tindakan memuktamadkan Pelan Tindakan  Perumahan 2.0 merangkumi program senggaraan dan naik taraf,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 1,474 unit RKAT di kem-kem tentera seluruh negara berada dalam tindakan senggaraan dan dinaik taraf sementara baki 8,270 unit lagi akan dilaksana secara berperingkat melibatkan tempoh selama 10 tahun bermula tahun hadapan.

Kementerian Pertahanan juga memaklumkan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan (BPKP) ATM dilantik sebagai agensi pelaksana manakala Unit Perkhidmatan Kejuruteraan Angkatan Tentera (UPKAT) ditugaskan bagi memantau serta menentukan projek dilaksana mengikut jadual ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan