AM

Festival Layang-layang Antarabangsa Labuan 2019 satu kejayaan

08/09/2019 10:36 PM

LABUAN, 8 Sept -- Festival Layang-layang Antarabangsa Labuan 2019 yang baru berakhir mencatatkan kejayaan yang cukup memberangsangkan apabila lebih 10,000 pengunjung dari segenap lapisan masyarakat termasuk dari negara jiran Brunei hadir bagi memeriahkan acara tiga hari itu, walaupun dalam keadaan cuaca yang panas.

Sejumlah 63 pemain layang-layang tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian dalam acara yang berlangsung di kawasan berangin di pantai Manikar yang menghadap Laut China Selatan, persekitaran cukup ideal untuk penggemar layang-layang. 

Acara yang bermula pada 6 Sept itu adalah anjuran bersama Perbadanan Labuan dan Majlis Pelayang Malaysia (MPM).

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata acara sirkit antarabangsa itu merupakan sebahagian daripada agenda pihaknya menerusi Perbadanan Labuan, untuk memacu industri pelancongan pulau itu.

“Festival ini mencatatkan kejayaan besar, ia dikendalikan dengan baik, tahniah... acara ini cukup menyeronokkan dan saya rasa semua orang puas hati menikmatinya. Saya rasa ia seharusnya menunjukkan bahawa Labuan memang mahukan banyak acara sebegini, ramai yang sukakannya, jadi saya harap ia akan mencetuskan ilham kepada penganjuran lebih banyak acara menarik di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata kejayaan acara itu menjadi kayu pengukur kepada keupayaan Labuan untuk dipilih sebagai tempat terbaik di Malaysia untuk dijadikan lokasi penganjuran festival layang-layang di masa hadapan.

Antara peserta asing yang terlibat dalam festival itu termasuk dari Australia, Brunei, Kemboja, China, Jerman, Indonesia, Jepun, Korea, New Zealand, Sweden, Scotland, Thailand dan Amerika Syarikat.

Pemain layang-layang dari Malaysia pula adalah dari Sarawak, MAS Malaysia, Pelayang Johor, Presiden MPM, MPM, Putrajaya, Kelantan dan USM.

Khalid seterusnya mengumumkan penubuhan Majlis Pelancongan, Kebudayaan, dan Seni di bawah kementeriannya yang disasar bagi menyelesaikan sebarang isu-isu berkaitan pelancongan di tiga Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada Labuan. Kuala Lumpur dan Putrajaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan