GUA MUSANG, 8 Sept -- Kira-kira 20 Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh membabitkan lima keluarga memilih untuk tinggal secara sementara di dalam khemah yang dibina di tepi sungai bagi menghilangkan tekanan.
Langkah itu diambil selepas mereka kehilangan beberapa anggota keluarga dalam tragedi demam campak yang berlaku beberapa bulan lepas.
Kumpulan itu mula tinggal di dalam khemah sejak kira-kira dua minggu lepas dengan membawa anak dan isteri mereka sambil mendapatkan bekalan air sungai untuk keperluan harian berikutan kesukaran mendapatkannya sejak kebelakangan ini.
Penghulu Orang Asli Kampung Kuala Koh, Mohamad Pokok, 40, berkata masyarakat Orang Asli di perkampungan itu kerap tinggal di dalam khemah selepas tragedi jangkitan kumam Mei lalu dan kali ini merupakan yang ke 11 mereka berbuat demikian namun bilangannya tidak terlalu ramai.
Beliau berkata bagaimanapun ia hanya membabitkan beberapa keluarga sahaja terutama yang kehilangan anggota keluarga ketika wabak demam campak menyerang perkampungan itu baru-baru ini.
Awal Mei lalu 15 Orang Asli suku Batek daripada kampung itu meninggal dunia manakala 112 orang lagi yang dijangkiti penyakit itu menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM), Hospital Kuala Krai (HKK) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial