AM

Perubahan ekosistem, persekitaran perairan mungkin punca ikan mati - Exco Johor

08/09/2019 05:02 PM

JOHOR BAHRU, 8 Sept -- Perubahan ekosistem dan keadaan persekitaran kawasan perairan berkemungkinan menjadi punca kematian ikan-ikan di Pantai Lido dan tali air berdekatan Hospital Sultanah Aminah, di sini, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata pihaknya, bagaimanapun, masih menunggu laporan lengkap Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan sebelum sebarang tindakan lanjut dibuat.

"Kita masih siasat lagi, sebab ia melibatkan JAS dan melibatkan juga Jabatan Perikanan, jadi, kita akan siasat dulu apakah punca sebenarnya.

"Masalahnya ialah kematian ikan disebabkan DO (oksigen terlarut) sangat rendah iaitu 1.2 bahagian per juta (ppm) bersamaan 1.5 mg seliter yang amat rendah, jadi, ia tidak sesuai untuk hidupan ikan-ikan…untuk ikan mesti sekurang-kurangnya 5 ppm," katanya yang ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor Peringkat Johor Bahru di sini hari ini.

Tan menegaskan, operasi pembersihan melibatkan pelbagai agensi di kawasan terbabit sudah dilakukan.

"Kita tengok persekitaran dan ekosistem ada perubahan tetapi kita kena siasat. Saya akan buat susulan nanti tetapi pembersihan telah dilakukan melibatkan beberapa agensi seperti PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), Jabatan Perikanan dan sebagainya," katanya.

Kejadian lambakan ikan mati di kawasan Pantai Lido dan tali air berdekatan Hospital Sultanah Aminah dilaporkan berlaku pertama kali pada 28 Ogos lepas dan kemudian dilaporkan berlaku kali kedua, dua hari lepas (6 Sept).

Tan menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan kematian ikan-ikan tersebut berkemungkinan disebabkan faktor cuaca dan gangguan sistem pengaliran daripada aktiviti penambakan di perairan Pantai Lido.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan