AM

70 murid istimewa sertai pertandingan basikal tolak

08/09/2019 02:49 PM

BUKIT MERTAJAM, 7 Sept -- Seramai 70 murid istimewa dari Sekolah Pendidikan Khas sekitar kawasan Seberang Jaya, di sini diberi peluang untuk mencuba dan menyertai pertandingan basikal tolak atau ‘push bike’ sempena Hari Fisioterapi Sedunia Peringkat Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini hari ini.

Murid-murid dari empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Jaya, SK Tanah Liat, SK Bandar Baru Perda dan SK Tok Kandu itu begitu gembira dan teruja menunggang basikal tanpa pengayuh itu.

Malah masing-masing tangkas menggerakkan basikal dengan menggunakan kedua-dua belah kaki agar dapat menyaingi peserta-peserta lain.

Presiden Persatuan Basikal Tolak Pulau Pinang Bakar Noordin berkata pihaknya berkerjasama dengan HSJ menganjurkan pertandingan itu malah turut memberi peluang kepada murid-murid istimewa.

"Walaupun pertama kali diberi peluang untuk menunggang basikal lajak, murid-murid istimewa itu yang kebanyakannya mempunyai masalah pembelajaran, sangat cepat belajar untuk tunggang dengan betul basikal tolak tersebut malah mereka sangat teruja menyertai pertandingan hari ini," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Bakar berkata pertandingan itu turut dibuka kepada kanak-kanak lain mengikut kategori iaitu bawah empat tahun, lima hingga tujuh tahun serta lapan hingga 12 tahun, manakala murid istimewa diletakkan dalam kategori berasingan.

Seorang murid istimewa Muhamad Aiman Haikal Ismail, 12, berkata ini pertama kali beliau menunggang basikal tolak dan menyifatkan peluang itu sangat seronok kerana ia berbeza berbanding basikal biasa.

"Mula-mula macam kekok sebab tiada tempat untuk kayuh tapi selepas cuba, ia senang dan sangat seronok...kalau ada peluang saya nak sertai lagi pertandingan basikal tolak," katanya.

Rakannya Muhammad Irfan Mohd Solihin, 8, pula berkata pengalaman mencuba basikal tolak itu lebih seronok berbanding menunggang basikal biasa malah beliau juga dapat berjumpa ramai kawan yang turut bertanding dalam pertandingan tersebut.

Pengarah HSJ Dr Saiful Azlan Sharif berkata pihaknya sebagai penganjur tidak menyangka pertandingan basikal tolak itu akan mendapat sambutan menggalakkan kerana ini pertama kali pihaknya menganjurkan program sedemikian.

Beliau berkata kebiasaannya HSJ menganjurkan ceramah atau taklimat sempena Hari Fisioterapi Sedunia peringkat hospital, namun kali ini membuat kelainan dengan menganjurkan pertandingan basikal tolak untuk kanak-kanak dan program kayuhan untuk dewasa selain merancang untuk mengadakan program sedemikian pada tahun depan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan