AM

Lukisan mural pupuk semangat cintakan sungai

05/09/2019 11:30 PM

KUALA LUMPUR,  5 Sept (Bernama) -- Seramai 140 sukarelawan, pelajar dan penduduk bekerjasama mengindahkan dinding sepanjang 100 meter di sekitar loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Gombak dengan lukisan mural yang menggambarkan landskap Sungai Batu.

Projek lukisan mural yang diadakan baru-baru ini bertujuan memupuk kesedaran menghargai sungai  yang bersih itu dianjurkan  Friends of Sungai Batu yang diwujudkan di bawah projek Sungai Nadi Kehidupan - Program Jangkauan Awam (ROL-POP) Fasa 4 (Selayang).

Bertemakan “Sungai Batu Info Canvas”, mural itu mempamerkan visual kreatif sejarah dan mercu tanda menarik di sepanjang Sungai Batu, yang mengalir dari Taman Negeri Selangor di Hutan Lipur Sungai Tua sehingga ke Sungai Gombak di hadapan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai, Jabatan Pengairan dan Saliran, Md Khairi Selamat yang merasmikan mural itu berkata program yang diterajui komuniti setempat itu telah terbukti berkesan memupuk sikap positif terhadap pemuliharaan sungai.

"Projek mural  ini adalah contoh yang baik untuk mendidik masyarakat menjaga sungai kita supaya bersih.

“Orang ramai perlu sedar bahawa mengekalkan kebersihan sungai adalah penting untuk kehidupan manusia,” kata kenyataan yang dikeluarkan Asia Pacific Environmental Consultants Sdn Bhd hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan