AM

JUMAAT DIISYTIHAR HARI PENGGUNAAN TULISAN JAWI - MUJAHID

05/09/2019 04:00 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept  -- Hari Jumaat diisytiharkan sebagai hari penggunaan tulisan jawi sebagai usaha untuk memperkasakan tulisan itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata tulisan jawi adalah platform untuk mengembalikan sejarah warisan negara kerana Malaysia dan Bahasa Melayu secara khususnya menggunakan tulisan itu sebagai pengantara rasmi sama ada dalam hubungan antara negara mahu pun masyarakat.

“Insya-Allah dengan semangat ini, kita mengekalkan tradisi dan budaya bangsa kita yang sepatutnya saya ulangi, disokong oleh semua kaum kerana jawi bukan hak Melayu tetapi warisan kita Malaysia.

“Diharap usaha ini dapat menyemarakkan lagi, mengekalkan tradisi dan memberi inspirasi kepada kementerian lain untuk turut sama menyemarakkan tulisan jawi dalam mengekalkan budaya tradisi sejarah bangsa kita yang kita hormati dan kagumi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mujahid melancarkan program Semarak Tulisan Jawi bagi peringkat agensi-agensi di bawah kementeriannya dengan menyampaikan tag nama dalam tulisan itu kepada setiap ketua agensi, yang program berkenaan akan dilaksanakan oleh seluruh kakitangan agensi agama dengan memakai tag nama setiap hari Jumaat. 

“Saya tidak pernah menganggap tulisan jawi sebagai satu proses Islamisasi sebagaimana yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu walaupun ia hampir dengan pentadbiran Islam dari segi apabila tulisan jawi hampir pupus di peringkat penggunaan rasmi, hanya pentadbiran-pentadbiran Islam yang mengekalkan ia bagi tujuan untuk kita terus memastikan sejarah budaya tulisan jawi dikekalkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan