AM

Perzim laksana penstrukturan semula muzium, galeri

31/08/2019 03:52 PM

MELAKA, 31 Ogos -- Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) sedang melaksanakan penstrukturan semula semua muzium dan galeri di bawah kendaliannya bagi memastikan kewujudannya relevan dan tidak berlaku sebarang pertindihan daripada konsep pameran. 

Pengurus Besarnya Mohd Nasruddin Rahman berkata menerusi langkah dilaksanakan sejak dua bulan lepas itu beberapa muzium yang kurang mendapat sambutan akan ditutup dan bahan pamerannya akan dipindahkan ke muzium lain khususnya di kawasan Banda Hilir.

Katanya setakat ini empat muzium telah ditutup ialah Muzium Alor Gajah, Galeri Melaka, Muzium Al-Quran dan Galeri Batang Tiga.

"Penutupan galeri dan muzium ini bukan bererti kita simpan artifak atau bahan sejarah yang dipamerkan sebaliknya ia dipindahkan ke muzium lain.

"Sebagai contoh, bahan artifak atau sejarah di Muzium Al-Quran di Masjid Al-Azim kita pindahkan ke Muzium Islam dan Muzium Dunia Melayu dan Dunia Islam di Banda Hilir," katanya kepada Bernama selepas merasmikan penutupan Program Bermalam di Muzium 2019 di sini, hari ini.

Program yang berlangsung selama dua hari satu malam bermula semalam di Perkampungan Hang Tuah Centre itu melibatkan penyertaan seramai 67 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Sebang, Alor Gajah; SMK Sungai Rambai, Jasin dan SMK Sri Serdang, Selangor.

Mengulas lanjut, Mohd Nasruddin berkata langkah penstrukturan semula itu bukan sahaja menjimatkan kos malah memudahkan pengunjung untuk melihat bahan pameran tanpa perlu ke banyak muzium berasingan.

Beliau berkata Perzim juga sedang menambah baik kualiti dan jumlah bahan pameran serta artifak di 20 muzium dan galeri di bawah kendalianya bagi menarik kedatangan pengunjung.

Katanya penambahbaikan itu termasuk mengguna pakai teknologi atau kaedah interaktif yang mampu menambah nilai peranan setiap muzium dan galeri tersebut selari dengan perkembangan teknologi semasa.

"Kita juga sedang memberi fokus pada pakej ilmiah yang mana sasaran pengunjung ialah pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi agar mereka seronok untuk datang ke muzium dan melakukan pelbagai aktiviti contohnya sekiranya ke Muzium Sastera, mereka boleh belajar menulis sajak dan mendeklamasikannya," katanya.

Sementara itu, pelajar SMK Sungai Rambai, Erna Syarina Mohd Shibolfabilah, 16, berkata program bermalam di muzium merupakan pengalaman baharu baginya selain kaedah itu berjaya meningkatkan minatnya pada subjek Sejarah.

"Gembira dan teruja..di sini baru saya nampak sejarah itu menarik. Ia boleh difahami bukan sahaja melalui pembacaan tetapi juga menerusi artifak dan bahan sejarah yang boleh dilihatatanya secara realiti," katanya.

Bagi Khairul Irsyaduddin Sulaiman, 16, dari sekolah sama pula berkata pada mulanya beliau agak ragu-ragu apabila dimaklumkan guru bahawa dia dan beberapa rakan terpilih untuk menyertai program itu kerana beranggapan bermalam di muzium ialah satu aktiviti yang membosankan selain menakutkan kerana terdapat banyak patung dan artifak lama.

Bagaimanapun, katanya tanggapannya itu meleset setelah mula menjejakkan kaki di Hang Tuah Centre dan teruja dengan bahan sejarah dan artifak yang dipamerkan terutama berkaitan pahlawan Melayu, Hang Tuah serta pengisian aktiviti sepanjang program itu yang menyeronokkan, unik dan meningkatkan minatnya terhadap sejarah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan