Oleh Thivyamalini Ramalu
KUALA LUMPUR, 28 Ogos -- Menjelang sambutan kemerdekaan ke-62 Sabtu ini, ramai tampil menzahirkan semangat patriotisme melalui pelbagai cara, begitu juga dengan kumpulan muzik bergelar Livewires yang tampil menghasilkan lagu ‘Say Malaysia’.
Kumpulan itu yang aktif dalam dunia hiburan sejak lapan tahun lepas akan menyampaikan lagu itu dalam empat bahasa iaitu bahasa Malaysia, Mandarin, Tamil dan Inggeris.
Penyanyi utama Livewires, J. Shankar Kumar, 29, berkata idea ini diusahakan sejak tahun lepas, sebagai inisiatif bagi mendekatkan masyarakat dengan semangat kemerdekaan melalui muzik.
“Lirik lagu bagi keempat-empat bahasa merupakan hasil nukilan anggota kumpulan kami. Kami percaya muzik merupakan perantara bagi menyebar sesuatu mesej positif dan ‘Say Malaysia’ adalah buktinya.
“Lagu ini akan dilancarkan di YouTube pada 29 Ogos dan ia bukan sebahagian daripada mana-mana lagu album. Ini adalah inisiatif pertama kami untuk menyebarkan semangat merdeka dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Menjadikan bidang nyanyian sebagai hobi, Shankar berkata sempena Hari Kebangsaan ini, diharap diversiti kaum terus kekal utuh dan perbezaannya sesama kita diraikan secara positif.
“Kita mungkin berbeza tetapi kita berkongsi sebagai rakyat Malaysia. Kita harus menghargai kepelbagaian ini dan sentiasa bersatu,” katanya.
Lagu ‘Say Malaysia’ yang mendapat sentuhan komposer Zechariah Ashok juga menyelitkan tarian dalam videonya bagi membawa unsur keceriaan.
Sementara itu, penyanyi bagi lirik Bahasa Malaysia Sharlene Darshini Malcolm, 28, berkata beliau berasa bangga menjadi sebahagian daripada kumpulan Livewires dalam menyemai nilai patriotisme melalui muzik.
“Ini kali pertama terlibat dalam projek sebegini. Ia mungkin usaha kecil tapi diharap ia beri impak dalam menyemai sikap sayangkan negara. Dalam kesempatan ini, saya mengucapkan selamat Hari Kemerdekaan kepada semua dan nantikan lagu ‘Say Malaysia’ esok,” katanya.
Selain Shankar dan Sharlene, dua penyanyi lain ialah Jageish Umanaath (lirik bahasa Inggeris) dan Ponmugilan bagi lirik Mandarin untuk lagu gabungan genre rock, rap dan hip hop ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial