KUALA LUMPUR, 27 Ogos -- Sebanyak 80 gambar sejarah sepanjang 70 tahun penubuhan Tenaga Nasional Berhad (TNB), selain 40 karya seni budaya dan warisan negara dipamerkan di Galeri Prima, Bangsar bermula hari ini sehingga 20 September depan.
Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie berkata pemeran itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai perjalanan dan kejayaan TNB selama tujuh dekad lalu.
“Pameran ini menggambarkan perjalanan TNB selama 70 tahun bertapak sebagai syarikat utiliti yang menawarkan perkhidmatan bekalan eletrik kepada masyarakat.
“Kita harap dengan kehadiran pengunjung di pameran ini, mereka boleh mengetahui secara umum sumbangan TNB kepada pembangunan negara selain menerangi hidup masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Seni dan Gambar, di sini hari ini.
Tambahnya saban tahun TNB melalui pelbagai transformasi dan berkembang dari tahun ke tahun serta bersedia menghadapi masa depan yang lebih mencabar.
“TNB mula dikenali sebagai Central Electricity Board (CEB) pada tahun 1949 dan kemudian National Electricity Board (NEB) pada tahun 1965. seterusnya Lembaga Letrik Negara (LLN), dan kini umum mengenali kami dengan nama TNB,” katanya.
Kesemua lukisan itu merupakan hasil karya barisan pelukis tersohor antaranya Datuk Mohamad Hoessein Enas, Datuk Syed Ahmad Syed Jamal, Datuk Ibrahim Hussein, Abdul Latiff Mohidin dan Datuk Chuah Tean Teng.
Dengan tema “Tribute to The Nation’s Pride by TNB”, pameran selama 25 hari itu dibuka kepada orang ramai secara percuma pada Isnin hingga Jumaat (10 pagi hingga 6.00 petang) dan hujung minggu (10 pagi hingga 5.00 petang).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial