TAIPING, 26 Ogos -- Kanak-kanak dan warga emas antara 100 individu yang menyertai pendakian ke Bukit Larut di sini hari ini sambil mengibarkan Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat patriotik masing-masing.
Pendakian menerusi program 'Hiking Kibarkan Bendera Malaysia di Bukit Larut' anjuran Persatuan Sukarelawan Harapan Larut Matang dan Selama (PSHLMS) itu yang diadakan bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-62 turut mendapat sokongan daripada orang ramai yang melakukan aktiviti mendaki bukit itu.
Penyelaras program Md Zukry Ahmad berkata pendakian dilakukan pihaknya sebagai usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan peserta selain menzahirkan semangat itu kepada orang ramai khususnya pelancong luar yang turut sama berekreasi di kawasan berkenaan.
"Pendakian ini mengambil masa selama dua jam bermula pukul 7.45 pagi hingga peserta tiba di puncak Bukit Larut pada pukul 10 pagi," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata semua peserta turut bersemangat dengan menyanyikan lagu-lagu berunsurkan patriotik semasa pendakian yang melalui jalan berturap ke puncak bukit itu.
"Walaupun terdapat peserta yang mengalami gejala muntah-muntah serta pitam semasa pendakian tetapi ia tidak melenturkan semangat mereka untuk meneruskan langkah hingga 60 peserta termasuk 10 kanak-kanak berjaya ke penamat pendakian di 'check point' terakhir iaitu pondok rehat Watermelon dengan ketinggian 400 meter dari paras laut,” katanya.
Md Zukry berkata pendakian itu merupakan satu daripada manifestasi mengenai kepayahan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu untuk mencapai kemerdekaan yang dinikmati rakyat sehingga hari ini.
Katanya ia merupakan antara usaha supaya generasi muda terus menghayati semangat kemerdekaan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial