AM

SPRM siasat unsur komplot, monopoli dalam bidaan projek kerajaan

26/08/2019 10:41 AM

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat pihak yang berkomplot dan memonopoli bidaan projek kerajaan.

Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya mengakui SPRM menerima banyak laporan kes-kes berkenaan tender dan perolehan kerajaan, dan perkara itu dalam perhatian dan tindakan pihaknya.

“Banyak laporan kes-kes berkenaan perolehan tender dan sebagainya (diterima), tetapi kita (SPRM) tidak boleh dedahkan maklumat ini lagi kerana dikhuariti akan mengganggu siasatan,” katanya kepada pemberita pada Program Gohek Beskal dan Khabak Merdeka 2019 di Bukit Besar, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar tempatan hari ini yang mendedahkan, sekurang-kurangnya 10 projek kerajaan bernilai jutaan ringgit, kini dalam siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana syarikat yang memenangi tender itu disyaki berkomplot dalam bidaan, hingga menyebabkan ketirisan dana awam.

Sementara itu, Latheefa berkata Program Gohek Beskal dan Khabak Merdeka 2019 merupakan satu inisiatif SPRM, untuk memerangi gejala rasuah dalam kalangan golongan muda.

Katanya hal ini kerana kes rasuah melibatkan golongan muda kini membimbangkan, dan antara faktor utama masalah tersebut adalah kurangnya pendedahan dan kesedaran terhadap rasuah dalam kalangan golongan itu.

“Kami akan tingkatkan program-program bersifat pencegahan, selain daripada sekadar membuat operasi atau tangkapan, kami ingin menekankan berkenaan program-program yang lebih kepada mendidik dan membuat pencegahan,” katanya yang turut mendaki ke puncak Bukit Besar bersama kira-kira 100 anak muda tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan