AM

Makanan pelbagai kaum bawah satu bumbung, eratkan perpaduan

24/08/2019 07:34 PM

Oleh Rozainah Abdul Rahim

IPOH, 24 Ogos (Bernama) -- Berkongsi meja makan dengan orang yang tidak dikenali, apa lagi individu tersebut jelas berbeza bangsa dan agama. Namun, atas dasar perpaduan dan persefahaman yang jitu, semua itu bukan masalah.

Situasi tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa di kebanyakan kedai makan, termasuklah di Restoran New Hollywood di Taman Canning di sini yang cukup terkenal bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah pelancong.

Keunikan restoran yang boleh dianggap simbol perpaduan itu adalah penjualan pelbagai jenis makanan di bawah satu bumbung oleh peniaga pelbagai kaum seperti Chee Cheong Fun, Roti Goyang, Yong Tau Fu, Nasi Lemak, Tosai, Bakso dan minuman enak seperti kopi putih.

Pemilik restoran, Yoong Ong Swai, 64, berkata restoran berkonsepkan Cina itu yang dibuka sejak 1995 menempatkan 18 gerai makanan oleh peniaga daripada pelbagai kaum.

Yoong berkata idea untuk mewujudkan restoran itu tercetus kerana ingin semua kelompok tanpa mengira kaum sama ada Melayu, Cina, India bertandang di kedai tersebut untuk menikmati hidangan kegemaran masing-masing.

“Dengan adanya peniaga pelbagai kaum, orang ramai tidak ada masalah untuk datang makan di sini. Mereka boleh makan makanan tradisi atau pilih menu kaum lain bagi memenuhi selera," kata wanita warga emas itu kepada Bernama di sini, baru-baru ini. 

Tinjauan Bernama mendapati restoran yang mula beroperasi seawal 7.30 pagi sehingga 10 malam setiap hari itu tidak putus-putus dikunjungi orang ramai daripada pelbagai latar belakang dalam suasana harmoni.

Peniaga, Diana Rahman, 40, berkata restoran itu sentiasa dipenuhi pengunjung termasuk pelancong asing kerana ia merupakan salah satu destinasi makan yang popular di Ipoh.

“Sudah sembilan bulan saya berniaga di sini dengan bayaran sewa gerai sebanyak RM10 untuk waktu pagi hingga petang dan RM10 lagi sekiranya ingin berniaga lagi waktu petang hingga malam.

“Kadang-kadang ada orang yang datang ke sini terkejut melihat konsep restoran ini yang menempatkan peniaga pelbagai kaum,” kata ibu kepada dua anak itu.

Diana menjual makanan Melayu seperti nasi lemak berlauk, pulut kuning, rendang, nasi ayam penyet serta roti jala bersama suaminya, Zulkifli Osman, 50.

Sementara itu, pengunjung R. Raguvaran, 45, berkata suasana berbilang kaum yang makan bersama di bawah satu bumbung dan adakalanya terpaksa berkongsi meja kerana pelanggan yang ramai dapat menyatukan lagi rakyat di negara ini.

“Memang bagus konsep tempat makan seumpama ini yang jarang dijumpai di tempat lain, sambil makan boleh sembang dan berkenalan kalau duduk dengan orang lain. Makanan pun semuanya enak,” katanya.

Hisham Kassim, 27, berkata beliau datang bersama rakan-rakan untuk menikmati makanan di restoran New Hollywood itu setelah mengetahui mengenainya di laman media sosial.

“Kami mengambil peluang berada di Ipoh selama dua hari ini untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di sini dan restoran ini dikatakan antara tempat makanan yang unik dan popular selain tidak perlu bimbang akan makanan yang dijamin halal,” katanya yang datang dari Johor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan