TUMPAT, 24 Ogos -- Kerajaan telah menumpukan usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat sejak Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5), kata bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin.
Beliau berkata, antara dasar yang diperkenalkan kerajaan pada waktu itu adalah meningkatkan pendapatan dan mengurangkan inflasi agar rakyat dapat menggunakan wang dengan lebih baik.
"Samada suka ataupun tak suka, kalau dibandingakn dengan dulu sampai sekarang, rakyat lebih selesa daripada dulu. Dulu mana jalan macam sekarang. Dulu mana ada titi (jambatan) macam sekarang.
"Dulu kita naik basikal sekarang semua naik kereta, takkan tak ada kemajuan? Mesti ada kemajuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Koperasi dan Bekwoh (Kenduri) Rakyat anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Pantai Geting di sini, hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin, Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Nordin Salleh, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Datuk Husam Musa dan Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Daim mengulas mengenai dakwaan yang dibuat oleh pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kadar kemiskinan di negara ini.
Pelapor Khas PBB mengenai kemiskinan tegar dan hak asasi manusia, Philip Alston sebelum ini dilaporkan berkata bahawa angka rasmi mengenai kemiskinan di negara ini sebahagian besarnya tidak tepat dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.
Alston dipetik sebagai berkata bahawa angka rasmi bergantung kepada langkah-langkah lapuk dengan garis kemiskinan kekal di tahap yang sama selama beberapa dekad walaupun kos kehidupan yang semakin tinggi.
Ditanya mengenai khabar angin mengenai pertukaran portfolio beberapa menteri dalam masa terdekat, Daim berkata perkara berkenaan perlu dirujuk kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Namun dalam masa yang sama beliau meminta masyarakat supaya terus memberikan maklumbalas terhadap prestasi wakil rakyat yang dipilih mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial