AM

Tol tetap dikenakan walaupun PLUS diambil alih - PM Mahathir

22/08/2019 07:47 PM

PUTRAJAYA, 22 Ogos -- Pelaksanaan kutipan tol tetap diteruskan walaupun PLUS Malaysia Sdn Bhd (PLUS) diambil alih oleh mana-mana entiti, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan masih mempertimbangkan tawaran daripada Maju Holdings Sdn Bhd yang mahu mengambil alih syarikat pengendali lebuh raya itu.

"Dia nak ambil alih PLUS, kita kaji tengok cadangan itu tapi dia (cadangan Maju Holdings) kena ada tol, tiada tol dia tidak boleh beli, (nanti) dia tidak dapat balik duit.

"Dia punya cadangan termasuk mengurangkan kadar tol dan dia nak buat macam-macam lagi, nak perbaiki jalan...jadi kita sedang timbang," katanya kepada media selepas Majlis Perjumpaan Pegawai-pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata sekiranya kerajaan mahu menghapuskan tol, kerajaan perlu membelanjakan duit yang banyak untuk mengambil alih konsensi lebuh raya.

"Sekarang kita dapati bahawa...perkara pertama jika kita tidak mengutip tol, kita mesti membeli lebuh raya itu dan ia melibatkan kos berbilion-bilion.. dan kita tidak mempunyai wang.

"Perkara lain ialah jika kita berjaya membeli, kita perlu membelanjakan wang untuk menyelenggaranya.

"Jadi, orang ramai perlu perlu memahami masalah yang kita hadapi," katanya.

Dr Mahathir berkata selain itu sekiranya tol dihapuskan, bagaimana sesebuah lebuh raya itu akan diselenggara.

“Masalahnya ialah lebuh raya perlu diselenggara, perlu diperlebar, ditambah lorong baharu. Semua melibatkan wang.

"Belum ada keputusan muktamad. Kita masih menelitinya," kata beliau.

Selain Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS turut mengendalikan Lebuhraya Baru Lembah Klang, Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utara-Selatan, Link Kedua Malaysia-Singapura, Lebuhraya Butterworth-Kulim dan Jambatan Pulau Pinang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan