AM

Minat tanam cili keluarkan Siti Sara dari kemiskinan

21/08/2019 05:39 PM

GERIK, 21 Ogos (Bernama) -- Bermula dengan bekerja sebagai pengutip cili secara sambilan di sebuah syarikat di sini, Siti Sara Md Zahid kini boleh berbangga apabila dia berjaya menjadi usahawan tanaman cili. 

Siti Sara, 31, yang mengusahakan cili kulai secara fertigasi di Kampung Alai dekat sini berkata minatnya untuk mengusahakan tanaman itu datang setelah bekerja sambilan selama hampir empat tahun.

Mengetahui bahawa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sedia membantu asnaf yang berminat mengusahakan penanaman cili, maka Siti Sara tidak melepaskan peluang itu dengan segera mendapatkan maklumat lanjut pada April lalu. 

"MAIPk menyediakan bantuan sebanyak RM17,500 untuk saya menjalankan projek ini dengan tunjuk ajar sebuah syarikat vendor yang dilantik.

"Saya mula menanam sebanyak 2,000 pokok cili kulai dalam polibeg menggunakan sekam padi yang telah dibakar Mei lalu dan tanaman itu mula mengeluarkan hasil dalam tempoh 75 hari," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Projek Cili Fertigasi dan Tuaian Hasil Pertama Asnaf MAIPk 2019 di Kampung Alai dekat sini hari ini.

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, setiap hari beliau mengutip kira-kira 100 kilogram (kg) cili dan menjualnya di beberapa kedai runcit sekitar Gerik pada harga RM12 hingga RM16 sekilogram.

Selain itu, beliau kini berbangga kerana sebuah syarikat yang dilantik oleh MAIPk akan membeli 100kg cili daripadanya setiap hari pada harga RM13 sekilgram, mulai minggu ini. 

"Alhamdulillah kini saya boleh mengubah nasib keluarga sekali gus dapat keluar daripada garis kemiskinan," katanya yang mendapat sokongan suami Mohd Fazli Razali, 29, seorang penoreh getah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengawai Eksekutif (Pengurusan) MAIPK, Mohd Haidi Sulaiman berkata pihaknya memperuntukkan RM350,000 tahun ini bagi membantu 20 asnaf di negeri ini melaksanakan fasa pertama tanaman cili fertigasi untuk tempoh lapan bulan mulai Mei lalu. 

"Setiap asnaf mendapat RM17,500 seorang dan ini adalah daripada wang zakat yang diterima bagi membantu golongan kurang mampu keluar daripada garis kemiskinan seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.

“Ini sekali gus menangkis tohmahan menyatakan MAIPk menyimpan wang zakat yang diperolehi sedangkan kita sebenarnya membantu golongan asnaf melaksanakan projek seperti ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan