AM

Anak tanggal 31 Ogos: sambutan hari lahir berbeza mengikut peredaran masa

20/08/2019 11:33 AM

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

PUTRAJAYA,  20 Ogos (Bernama) -- Cara meraikan sambutan hari lahir bagi individu yang lahir pada tarikh keramat 31 Ogos, berbeza sewaktu usia kecil mereka berbanding ketika mereka semakin matang.

Bagi Shanty Nur Shaffizan Mohd Shafee, beliau berpeluang untuk melawat Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, yang diwujudkan untuk memperingati dan mengenang jasa Perdana Menteri Malaysia pertama yang juga “Bapa Kemerdekaan”, pada ulang tahun kelahirannya ke-15, yang merupakan memori paling diingatinya.

“Saya menyambut hari kemerdekaan pada tahun itu di memorial tersebut, walaupun lebih 20 tahun berlalu, lawatan itu masih segar di ingatan saya kerana ianya cukup bermakna untuk saya sebagai anak merdeka,” kata Shanty Nur Shaffizan, yang kini 39 tahun.

Ibu kepada enam anak itu berkata pada masa kini, tarikh 31 Ogos masih istimewa baginya pada setiap tahun memandangkan hari tersebut merupakan cuti umum selain disajikan elemen "kejutan".

"Pada hari kemerdekaan juga biasanya saya dapat hidu yang keluarga dan rakan-rakan akan mengadakan kejutan sambutan hari jadi buat saya, itu yang membuat saya menyukai tarikh 31 Ogos," katanya kepada Bernama.

"Namun apa yang penting pada hari merdeka tersebut adalah masa terbaik untuk kami berkumpul bersama-sama meraikannya," kata perunding kewangan itu lagi.

Shanty Nur Shaffizan turut dikurniakan seorang anak lelaki, Ilhan Isyqi Sya'bani Azizun, yang dilahirkan pada satu lagi tarikh istimewa iaitu 16 September iaitu Hari Malaysia pada 2005.

"Dapat lahir pada hari merdeka, dan salah seorang anak lahir pada 16 September iaitu sambutan Hari Malaysia membuatkan keluarga kami lebih berasa patriotik kerana dapat bersama-sama menyambut kedua-dua hari itu," katanya.

Bagi Noor Atiqah Sulaiman yang lahir pada 31 Ogos 1993, beliau merasakan sambutan hari lahirnya tidak semeriah ketika zaman persekolahannya.

“Waktu sekolah dulu saya teruja untuk menanti tarikh 31 Ogos bukan sahaja untuk menyambut hari lahir tetapi akan secara sukarela menyertai pelbagai acara di sekolah melibatkan sambutan Hari Kemerdekaan," kata pemudi berusia 26 tahun itu.

Noor Atiqah berkata pemerhatiannya kehangatan sambutan kemerdekaan dikalangan rakyat Malaysia sekarang seperti sedikit hambar tidak seperti dahulu yang begitu meriah dengan hiasan bendera di rumah dan kenderaan.

Namun pada pendapatnya, masyarakat hari ini mungkin berubah cara meraikan hari kemerdekaan yang tidak lagi dizahirkan melalui pengibaran Jalur Gemilang.

"Semangat patriotik dan bangga jadi anak merdeka itu pada pendapat saya lebih terzahir melalui usaha dan semangat untuk mengemilangkan negara," katanya. 

--BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan