AM

Tawau terima impak ekonomi positif, ibu negara Indonesia ke Kalimantan

17/08/2019 06:43 PM

TAWAU, 17 Ogos (Bernama) -- Tawau, Sabah,  antara yang menerima impak ekonomi positif apabila ibu negara Indonesia berpindah dari Jakarta ke Kalimantan kelak, kata Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Sulistijo Djati Ismojo.

Katanya, rancangan perpindahan itu sekali gus menjadikan Tawau antara bandar di Malaysia yang terletak berdekatan dengan ibu negara Indonesia yang baharu itu.

"Saya yakin dengan Tawau menjadi kota (bandar) yang dekat dengan ibu negara Indonesia, banyak warga kami (Indonesia) akan datang melancong ke Tawau, jadi Tawau harus bersiap (bersedia) untuk terus membangun," katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan ulang tahun ke-74 Hari Kemerdekaan Republik Indonesia di sini, hari ini.

Baru-baru ini Presiden Indonesia, Joko Widodo menyatakan rancangan perpindahan itu kepada parlimen di Indonesia yang mencadangkan agar ibu negara Republik itu berpindah lokasi dari Pulau Jawa ke Pulau Borneo.

Sementara itu, Sulistijo optimis pembangunan bandar sempadan yang kini dirancang antara Malaysia dan Nunukan, Indonesia di Pulau Sebatik juga akan mengubah landskap daerah ini menjadi destinasi tumpuan pengunjung.

"Kami sangat mendukung perkembangan bandar sempadan ini kerana ia bertujuan untuk memaju dan membangun kawasan berpotensi memberi manfaat untuk kedua-dua buah negara di perbatasan ini.

"Pastinya kita berharap agar kedua-dua wilayah bersempadan ini akan terus maju dan mampu menjadi pengerat silaturahim negara berjiran demi keamanan dan kemakmuran yang berterusan," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata pertambahan warga Indonesia ke Tawau didorong kerana keperluan tenaga kerja khususnya dalam bidang perladangan.

"Perusahaan kelapa sawit di daerah ini yang banyak dan semakin berkembang sentiasa memerlukan tenaga kerja sebab itu ramai warga kita berada di sini untuk mencari rezeki.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah yang memberi kesempadan kepada pengusaha ladang kelapa sawit untuk meminta mereka mendapatkan dokumen sah pekerja warga Indonesia," katanya.

Terdahulu mengulas sambutan ulang tahun kemerdekaan itu, Sulistijo berkata ia diadakan secara sederhana tetapi penuh simbolik sebagai usaha memupuk semangat perjuangan yang telah diwarisi rakyat Republik itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan