AM

Kraftangan bakal kembalikan kegemilangan industri songket Terengganu

08/08/2019 09:56 PM

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos (Bernama) -- Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu yakin kegemilangan industri dan kualiti songket di negeri ini dapat dikembalikan menerusi beberapa strategi termasuk menggalakkan lebih ramai pengusaha songket mendapatkan sijil standard MS 1741-1:2007. 

Pengarahnya, Abdul Manan Ismail berkata, dengan sijil daripada Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, pelbagai manfaat boleh diperoleh pengusaha songket tempatan termasuk lebih mudah mendapat kepercayaan pembeli kerana songket keluaran syarikat mereka telah diiktiraf sebagai songket asli Terengganu.

"Ini secara tidak langsung dapat mengatasi lambakan songket tiruan yang datang dari luar seperti Pakistan dan India kerana pembeli dapat menentukan kesahihan keaslian songket yang mereka beli melalui QR Code yang dimiliki syarikat pengusaha songket itu," katanya kepada pemberita dalam taklimat sempena kempen penggunaan songket asli Terengganu di sini, hari ini.

Ketika ini terdapat lebih 300 usahawan songket di Terengganu namun hanya 41 pengusaha yang memiliki bengkel tenunan songket dan pusat jualan sendiri.

Daripada 41 pengusaha itu pula, hanya lapan pengusaha yang sudah berjaya mendapatkan standard MS 1741-1:2007 daripada Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu.

Lapan pengusaha itu ialah BJ Songket, Dah Harun Songket (rpt Dah Harun), Habibah Enterprise Sdn Bhd, KMZ Songket, Hafsah Songket & Collection, Manang Songket Sdn Bhd, Gedung Tenun Warisan dan Terengganu Songket.

Ditanya mengapa masih ramai pengusaha songket yang masih belum mendapatkan standard MS 1741-1:2007 itu, Abdul Manan berkata ia kerana mereka masih belum mempunyai kefahaman yang tepat mengenai kepentingannya.

"Sebab itu, sepanjang kempen penggunaan songket asli Terengganu bermula pada 5 Ogos hingga 31 Ogos ini, kita mengatur pelbagai program untuk meningkatkan kefahaman itu seperti seminar, lawatan pendidikan, pameran dan demonstrasi kraf di beberapa hotel dan pusat membeli-belah terpilih di Terengganu.

"Kita berharap kempen ini akan menarik minat pengusaha songket yang lain untuk menghantar sampel bagi sesi pe­ngujian standard kualiti songket asli Terengganu," katanya.

Antara kaedah pengujian untuk menentukan kualiti sehelai songket asli Terengganu ialah ujian kepadatan benang, perubahan dimensi serta ketahanan warna terhadap cahaya, basuhan, cucian kering, perpeluhan, gosokan dan geseran.

Antara cabaran industri songket Terengganu ketika ini ialah harga yang agak mahal berbanding songket tenunan mesin dan songket tiruan dari luar.

"Namun, harus diingat harga ini adalah berbaloi dengan kualiti, kreativiti corak, ketahanan serta tempoh masa yang diambil untuk menghasilkan songket asli Terengganu… ada justifikasi mengapa harganya begitu kerana ia berada dalam kelas yang tersendiri.

"Kita juga berharap agar generasi muda akan mempertahankan warisan seni nenek moyang ini kerana ia sangat bernilai tinggi. Mungkin juga kita perlu mencari satu kaedah untuk menghasilkan songket asli Terengganu yang menawarkan harga mampu milik dengan rekaan corak lebih moden agar lebih diminati generasi muda," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan