KOTA BHARU, 6 Ogos (Bernama) -- Pemilik rumah atau bangunan diingatkan supaya menggunakan khidmat kontraktor yang berdaftar dan berlesen untuk melakukan kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian.
Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata ini bagi mengelak pemilik rumah atau bangunan berdepan dengan risiko keselamatan dan jaminan kualiti binaan apabila menggunakan khidmat kontraktor yang tidak berdaftar.
“Kami dalam usaha untuk mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) terutamanya Majlis Daerah supaya memastikan apabila ada permohonan untuk kerja baik pulih rumah atau bangunan ia seharusnya disertakan dengan lesen kontraktor yang akan mengendali atau membaiki pembinaan tersebut,” katanya pada program Latihan Praktikal dan Khidmat Masyarakat di Sekolah Kebangsaan Parang Puting, di sini.
Sementara itu Kementerian Pembangunan Usahawan memilih seramai 50 orang kontraktor di negeri ini yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk menjalani latihan praktikal.
Pengarah Pembangunan Kontraktor dan Usahawan kementerian itu, Marlina Ramly berkata, Program Latihan Praktikal dan Khidmat Masyarakat yang julung kali diadakan di negeri ini adalah untuk memperkasakan kontraktor bumiputera dalam industri binaan.
“Program ini bukan sahaja untuk melahirkan kontraktor yang memahami teori bahkan memberi peluang untuk mereka melibatkan diri secara praktikal di tapak pembinaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu.
Marlina berkata, program latihan amali ini juga merupakan tanggungjawab korporat sosial (CSR) dimana kontraktor yang terpilih akan membaik pulih sekolah atau bangunan di negeri ini yang mengalami kerosakan.
“Selain itu, program ini juga dapat menjadi satu platform penyampaian maklumat tentang barangan dan produk terkini kepada kontraktor dimana mereka berpeluang mencuba secara amali produk-produk yang dikeluarkan oleh vendor yang berdaftar.
Katanya,melalui latihan amali ini ia akan mewujudkan persefahaman di kalangan kontraktor dan vendor binaan bumiputera disamping membuka ruang rangkaian untuk dimanfaatkan dalam projek-projek yang akan datang.
Pada majlis itu beliau menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada SK Parang Puting untuk pembinaan pagar baru sekolah serta mengecat pagar sekolah berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial