AM

Tunku Imran dilantik Canselor WOU

01/08/2019 06:45 PM

GEORGE TOWN, 1 Ogos (Bernama) -- Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, yang merupakan cucunda kepada Yang di-Pertuan Agong pertama negara, Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad, hari ini dilantik sebagai Canselor ke-empat Universiti Terbuka Wawasan (WOU) di sini hari ini.

Majlis pelantikan berlangsung di auditorium Tun Dr Lim Keng Yaik, di kampus utama WOU.

Tunku Imran, 71, yang juga anak kepada Yang di-Pertuan Agong ke-10, Al-Marhum Tuanku Jaafar Ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman, menggantikan bekas Ketua Hakim Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, yang tamat tempoh jawatan di universiti berkenaan pada Disember tahun lepas.

Dalam ucapannya di majlis itu beliau berkata pelantikan itu membawa cabaran baru kepadanya kerana beliau kini perlu terus mempelajari lagi mengenai cara-cara pengurusan universiti.

“Saya akui banyak yang perlu dipelajari mengenai WOU dan Program-program akademik serta operasinya, tapi pembabitan saya dalam bidang pendidikan sebenarnya bukannya sesuatu yang baru,” katanya dan menambah sebelum ini beliau pernah mengasaskan penubuhan Kolej Tuanku Ja’afar (KTJ), bersama dua saudaranya.

Selain bidang pendidikan, kepimpinan Tunku Imran turut dikenali ramai selaras dengan pembabitannya dalam beberapa badan sukan seperti Majlis Olimpik Malaysia, Persatuan Kriket Malaysia, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) , Persekutuan Sukan Komanwel, Persekutuan Sukan SEA, Persekutuan Skuasy Dunia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

Sementara itu dalam majlis yang sama, pakar imunologi dan bekas penyelidik perubatan, Datuk Dr Lim Thuang Seng dinamakan sebagai Pro-Canselor bajaru WOU, menggantikan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau yang memiliki PhD dalam bidang Immunologi dari University of Oklahoma, Amerika Syarikat, United States, pernah menyertai kakitangan pengajar di Purdue University, selaim memiliki pengalaman kerja dengan Mission Hill Memorial Hospital (Oklahoma), Unit Penyelidikan Perubatan Tentera AS dan Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia.

Pada majlis hari ini juga bekas Timbalan Presiden National University of Singapore (NUS) dan Ketua Pegawai Eksekutif NUS Enterprise Prof Dr Lily Chan diumumkan sebagai Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif WOU yang baharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan