Jumaat, 10 Julai 2020
EKONOMI
30/07/2019 11:55 AM

Oleh Wan Nadia Khairani Wan Chik & Joan Santani

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- PS Food & Beverage Sdn Bhd, syarikat di bawah ekosistem Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC)  hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PT Margarana Dream City di Indonesia untuk mewujudkan rangka kerja perkongsian berkaitan penjualan dan pengedaran produk minuman, serta penubuhan kilang pembuatannya di Indonesia dengan nilai pelaburan US$3 juta. 

Kerjasama strategik itu melibatkan hubungan simbiotik jualan dan pengedaran minuman berjenama Origina keluaran PS Food & Beverage ke Indonesia, serta penggunaan produk agrikultur keluaran Tani Nelayan Indonesia (TNI) di bawah PT Margarana Dream City dalam pembuatan minuman itu.

Pengarah Urusan PS Food & Beverage Sdn Bhd, Mohd Zain Harun berkata eksport produk minuman ORIGINA keluaran syarikat itu dijangka dimulakan pada suku keempat 2019.

"Ini kali pertama kami menembusi pasaran Indonesia bukan hanya sebagai pembekal, tetapi juga dengan menubuhkan sebuah kilang di sana. Jadi kami akan berkongsi kepakaran teknologi pembungkusan, pembuatan dan pemprosesan. Sebagai timbal balik, kami akan mengimport sebahagian daripada bahan mentah seperti jus, pati dan pes daripada rakan kongsi kami (PT Margarana Dream City) di Indonesia untuk digunakan dalam produk minuman kami.

"Kumpulan pertama produk minuman kami yang bernilai kira-kira RM1.2 juta akan dieksport menjelang Oktober depan," katanya kepada Bernama Radio selepas Majlis menandatangani MoU tersebut di ibu negara, semalam. 

Menurut Mohd Zain, syarikatnya kini mengeksport produk tersebut ke China, Vietnam, Singapura dan Brunei.

Turut hadir pada majlis menandatangani MoU itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus dan Konsulat Pembangunan Perniagaan dan Hal Ehwal Korporat Dewan Koperasi Indonesia (Dekopin), Datuk Yassir Farid Abd Rahman.

Dalam sidang media yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif PT Margarana Dream City, Nanang Iskandar berkata selain mengedar dan memasarkan produk Origina di Indonesia, syarikatnya juga akan mengimport teknologi pek pembungkus 'retort' yang berketahanan tinggi serta mesra alam yang digunakan sebagai bungkusan minuman tersebut.

"Kerana di Indonesia ada permintaan, jadi (syarikat) kami akan mengimport bahan pembungkusan jenis itu. Ia sesuatu yang baharu (di Indonesia), pada masa yang sama sifat mesra alamnya akan membantu pelupusan sisa plastik yang menjadi isu utama alam sekitar ketika ini.

"Penubuhan kilang Origina itu nanti juga dijangka memberi peluang pekerjaan kepada golongan petani di sana,'’ katanya.

Syarikat itu terlibat dalam pelbagai industri di Indonesia, antaranya pembangunan hartanah, pembinaan dan pembangunan organisasi pertanian iaitu Tani Nelayan Indonesia.

Sementara itu, Norhalim berkata kerjasama simbiotik serta perkongsian teknologi antara pemain-pemain industri di negara-negara ASEAN dilihat mampu merancakkan ekonomi di rantau itu.

"Perjanjian melibatkan hiliran dan huluan sebeginilah yang kami ingin galakkan dalam pasaran ASEAN, sebab di bawah polisi-polisi perdagangan berkaitan ASEAN, kalau kita nak buat untuk perdagangan sahaja adakalanya tidak berkembang kerana ia hanya satu hala, dan selalunya niatnya hanya untuk menjual'’ katanya.

Beliau berkata model perjanjian itu dilihat lebih baik kerana ia melibatkan hubungan dua hala dan manfaatnya sampai kepada golongan petani dan perkongsian teknologi lebih baik serta membolehkan sama-sama memacu ekonomi ASEAN dengan lebih baik.

-- BERNAMA  

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan