AM

Bicara kes saman fitnah Teresa Kok terhadap Ketua Pemuda PAS Selangor pada 23 Sept

26/07/2019 04:49 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan tiga hari bermula 23 Sept hadapan untuk perbicaraan kes saman fitnah difailkan Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim terhadap Ketua Pemuda PAS Selangor Syarhan Humaizi Abdul Halim berhubung penerbitan artikel di dalam akaun Facebook miliknya, pada Januari lepas.

Peguam Wan Rohimi Wan Daud, yang mewakili Syarhan memberitahu perkara itu kepada pemberita selepas hadir pada pengurusan kes berkenaan di dalam kamar Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril yang turut dihadiri peguam Elyse Ng Zi Qian bertindak bagi pihak Kok.

Dalam saman difailkan pada 4 Feb lepas, Kok mendakwa Syarhan selaku defendan telah menulis, memuat naik atau menerbitkan artikel bertajuk "Ucapan YB Ustaz Khalil Benar: DAP Jangan Kurang Ajar" dalam akaun Facebooknya pada 19 Jan 2018 yang mana artikel itu turut diterbitkan dalam media cetak dan sosial di dalam dan luar negara.

Dalam penyataan tuntutan, Ahli Parlimen Seputeh itu mendakwa defendan telah menerbitkan semula artikel bertajuk: "Teresa Kok Tidak Setuju Islam Agama Rasmi Persekutuan" yang kononnya telah diterbitkan di dalam sebuah portal berita, Malaysia Today pada 12 Jan lepas.

Plaintif mendakwa perkataan-perkataan fitnah di dalam kedua-dua aktikel itu antara lain membawa maksud beliau adalah anti Islam, bersifat perakauman, menyalahguna kuasa sebagai Menteri Kabinet serta seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.

Dakwanya, penerbitan kata-kata fitnah itu adalah tidak benar dan dilakukan dengan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasinya.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi pampasan, teruk dan teladan serta injunksi bagi menghalang defendan atau pekerjanya daripada menerbitkan semula artikel sama selain menuntut faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Syarhan dalam penyataan pembelaannya yang difailkan pada 29 Mac lepas mendakwa artikel pertama yang diterbitkannya adalah berasaskan fakta-fakta yang benar dan bersifat tindak balas politik yang munasabah terhadap DAP selain mendakwa ia tidak bersifat memfitnah plaintif (Kok).

Syarhan juga mendakwa beliau tidak pernah menerbitkan artikel kedua itu selain mendakwa artikel berkenaan tiada kaitan dengan Kok.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan