AM

Negara Islam lemah kerana ikut ajaran Islam salah - PM Mahathir

26/07/2019 06:01 PM

Oleh Kamarul Ariffin Md Yassin

ANKARA, 25 Julai (Bernama) -- Banyak negara Islam menjadi lemah akibat daripada mengikut ajaran Islam yang salah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Akibatnya, orang Islam menjadi orang yang paling lemah di dunia sehingga ke hari ini. Ada satu ketika di mana untuk mempertahankan diri pun kita perlukan bantuan orang lain, khususnya orang Eropah. Ini adalah akibat daripada salah mentafsir ajaran Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Pendidikan Tinggi Turki (Turkish Higher Education Council) di sini pada Khamis.

Beliau berkata banyak orang menterjemah dan mengajar Islam mengikut cara yang tidak begitu Islamik.

“Hari ini kita lihat ada banyak orang jahil...tidak ikut ajaran al-Quran sebagai panduan kita. Kita lebih cenderung mengikut ketua kita, alim ulama, walaupun tafsiran mereka mengenai Islam sebenarnya bertentangan dengan al-Quran.

“Kita melakukan sesuatu yang diharamkan oleh Islam, dan kita mendakwa ianya untuk kepentingan Islam...tetapi tidak. Kita perlu mengikut prinsip Islam yang diajarkan dalam al-Quran,” kata beliau.

Beliau berkata umat Islam mundur dalam soal dedikasi selama beberapa abad dan jahil dari segi kemajuan sains.

“Sebaliknya orang Eropah mempelajari ilmu-ilmu orang Islam, yang asalnya ditemui para saintis Islam dan mereka mendapat manfaat daripada ilmu-ilmu berkenaan sedangkan orang Islam mengabaikannya kerana menganggapnya tidak penting,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan