AM

Ziana Zain meriahkan pelancaran bulan kebangsaan di Melaka

24/07/2019 11:21 AM

MELAKA, 24 Julai (Bernama) -- Artis terkenal tanah air, Ziana Zain antara beberapa artis yang akan membuat persembahan pada konsert Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih pada majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, 3 Ogos ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid berkata selain daripada persembahan konsert, majlis berkenaan yang akan dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sebelah malam turut diserikan dengan pelbagai acara sampingan yang lain.

 “Ada pertunjukkan bunga api serta ‘light and sound’...itu adalah satu kelainan dalam maljis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang kali ini berbanding tahun-tahun lalu...sebab itu kita sangat menggalakkan penduduk di Melaka dan negeri berhampiran dapat hadir,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Sukari berkata selain itu, majlis bacaan doa selamat serta zikir Asma Ul Husna turut diadakan pada malam 2 Ogos di Masjid Cina Melaka di Krubong yang dijangka turut disertai Yang Dipertua Negeri Tun Khalil Yaacob.

“Ini bagi mendoakan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran negara manakala penganut agama lain, program keagamaan untuk tujuan yang sama akan diadakan di tempat ibadat masing-masing,” katanya.

Mengenai objektif pelancaran itu, beliau menjelaskan ia bertujuan untuk menyuntik dan menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat di negara ini dan bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan