AM

Anak dara Kedah dipelawa sertai pertandingan 'Musang Berjanggut'

19/07/2019 05:37 PM

ALOR SETAR, 19 Julai (Bernama) -- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah, mempelawa para gadis untuk menyertai pertandingan ‘Musang Berjanggut’ sempena Temasya 'Oghang' Kedah yang akan berlangsung pada 25 hingga 27 Julai ini, di Dataran Sungai Korok di Jitra.

Pengarah JKKN negeri, Mohd Rizal Ismail berkata pertandingan tersebut hanya terbuka untuk ‘anak dara’ sahaja kerana ia diadaptasi daripada filem ‘Musang Berjanggut’ lakonan mantap seniman Tan Sri P. Ramlee dan seniwati Saadiah.

“Dalam filem itu, P. Ramlee yang melakonkan watak putera raja mengembara mencari pasangan hidup dengan membawa karung berisi beras dan pelbagai rempah ratus sebagai ujian kepada setiap anak dara yang ditemuinya dalam usaha mencari calon isteri.

“Konsep pertandingan ini sama, peserta perlu mengasingkan barang-barang di dalam karung berkenaan dalam tempoh 30 minit dan pemenang akan dikira daripada aspek kesempurnaan kerja, ketelitian, kebersihan hasil dan penampilan diri,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata selain berhibur, pertandingan seumpama itu turut memberi pengajaran bahawa kesabaran, ketelitian, ketahanan minda serta keupayaan berfikir di luar kotak akan memberi kejayaan buat seseorang itu.

Katanya selain itu, pelbagai pertandingan menarik diatur sempena temasya berkenaan termasuklah sukan rakyat seperti sepak raga bulat, Badang (ujian kekuatan), gusti lengan kampung, memancing, nyanyian kerohanian dan membuat kolaj serta mewarna untuk kanak-kanak.

Untuk keterangan lanjut mengenai program terbesar dalam kalendar JKKN itu, orang ramai boleh menghubungi talian 04-7315930.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan