MELAKA, 18 Julai (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka menerima sebanyak 8,936 aduan berkaitan pelaksanaan sistem meter pintar dalam tempoh Mei dan Jun tahun ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diberitahu hari ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata daripada jumlah itu, 4,932 daripadanya telah diselesaikan oleh syarikat utiliti elektrik itu.
Beliau berkata daerah Melaka Tengah mencatatkan jumlah aduan tertinggi iaitu sebanyak 6,970 aduan bagi tempoh dua bulan berkenaan, diikuti Jasin (609), Alor Gajah (586), Masjid Tanah (384 aduan) dan Merlimau (387).
“Ketua Menteri Adly Zahari telah meminta TNB memberi penjelasan berhubung isu (meter pintar) pada 10 Mei lepas yang mana mereka memberi jaminan untuk menyelesaikan segala aduan mengikut garis panduan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 selain turut dipantau oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui Suruhanjaya Tenaga.
“Selain itu, TNB juga melaksanakan inisiatif dengan mengadakan program Hari Bersama Pelanggan di pejabat TNB seluruh negeri selama tiga hari yang berakhir pada 31 Mei lepas dan kita difahamkan bahawa kaunter khas aduan terbabit masih lagi dibuka sehingga hari ini,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.
Mohd Sofi (PH-Durian Tunggal) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Seah Shoo Chin (PH-Kesidang) mengenai senarai aduan awam mengenai Smart Meter TNB mengikut daerah dan status penyelesaiannya.
Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) yang mempersoalkan ‘kepintaran’ meter itu sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati pengguna, Mohd Sofi berkata TNB sentiasa komited dengan mengambil maklum aduan diterima bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan syarikat berkenaan.
“Kita percaya bahawa TNB selaku syarikat utiliti negara akan terus menggiatkan usaha bagi mendidik dan meningkatkan pengetahuan masyarakat berkaitan meter pintar sekaligus memastikan sasaran pengurangan aduan dapat dicapai pada masa depan," katanya.
Beliau berkata pengguna boleh mengemukakan sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan pembilan dengan menghubungi pegawai khidmat pelanggan TNB di talian 1300-88-5454, atau mengunjungi mana- mana pejabat TNB di Jalan Banda Kaba, Pekan Alor Gajah, Bandar Jasin, Merlimau dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Jalan Hang Tuah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial